Lima ditahan bantu siasat video perarakan pengebumian guna logo 36

Video tular memaparkan perarakan pengebumian mayat seorang lelaki dengan menggunakan MPV yang mempunyai logo 36.
Video tular memaparkan perarakan pengebumian mayat seorang lelaki dengan menggunakan MPV yang mempunyai logo 36.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung video perarakan pengebumian mayat seorang lelaki menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mempunyai logo kumpulan kongsi gelap 36.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun itu ditahan dalam serbuan di lima lokasi sekitar Lembah Klang pada Selasa dan Rabu.

"Hasil semakan mendapati, salah seorang yang ditahan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anuar berkata, polis turut merampas beberapa kenderaan antaranya Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Honda Civic serta sebuah motosikal Yamaha LC 135.

"Kita turut merampas satu kalung bunga dan sejambak bunga yang digubah berbentuk lambang 36," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes video perarakan pengebumian itu.

"Laporan pertama daripada seorang pegawai kanan polis yang melihat satu video berdurasi 36 saat di sosial media WhatsApp, menunjukkan sebuah kenderaan yang mempamerkan gambar seorang lelaki dan logo disyaki kumpulan Kongsi Gelap 36 diletakkan di hadapan kenderaan itu bersama kalungan bunga," katanya.

Menurutnya, kenderaan tersebut dipercayai membawa mayat untuk upacara pengebumian di sebuah kondominium di Pantai Dalam di sini.

Artikel Berkaitan:

"Laporan kedua juga dibuat oleh seorang pegawai kanan polis berkaitan isu yang sama menyatakan terdapat satu video tular berdurasi 58 saat," katanya.

Anuar berkata, terdapat juga video lain berdurasi 14 saat yang tular dan menunjukkan seorang lelaki membakar mercun di tengah Jalan Tun Sambanthan di sini.

"Hasil semakan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu dilaporkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur kerana kemalangan jalan raya pada Ahad," katanya.

Anuar berkata, siasatan awal mendapati suspek dan lelaki itu merupakan rakan sejak kecil dan pernah berpesan supaya membakar mercun jika dia meninggal dunia.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.