Bekas pemandu kastam mengaku terima suapan RM2,500

Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini pada Rabu.
Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pemandu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,500 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini pada Rabu.

Tertuduh, Khairudin Abd Rahman, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Abdul Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu dengan menyamar sebagai pegawai kastam, sehingga mendorong seorang peniaga, Ng Keat Hong, 33, menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,500, yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdayakan.

Khairudin didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Februari 2017, kira-kira jam 2.15 petang di sebuah restoran makanan segera di Yong Peng, Batu Pahat.

Tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Abdul Kamal menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Mac depan untuk lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shatesh Kumaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: