Dakwaan anggota bomba maut akibat vaksin Covid-19 tidak benar

Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah
Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan dakwaan berhubung kematian seorang anggota bomba akibat vaksin Covid-19 di negeri ini seperti yang tular di laman sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kematian pegawai berkenaan kerana serangan jantung dan bukan kesan suntikan vaksin yang diterima pada Jumaat lalu, empat hari sebelum kematiannya.

Menurutnya, pegawai berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

"Allahyarham pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan telah disaran oleh pakar untuk menjalani pembedahan.

"Pada Ahad lalu, dia telah menerima rawatan di Hospital Raub setelah mengalami gejala serangan jantung," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Dr Bahari berkata, Allahyarham menerima rawatan sewajarnya menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dirujuk ke Hospital Lipis dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Bagaimanapun keadaannya semakin tenat dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Selasa.

"JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan isu yang tular itu diberi perhatian serius dengan siasatan segera telah dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menularkan maklumat tidak tepat bagi mengelak salah tanggapan orang ramai terhadap vaksin Covid-19.