‘Baru kini kita faham mengapa darurat sehingga Ogos’

Shamsul Iskandar Mohd Akin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Shamsul Iskandar Mohd Akin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memerlukan tempoh masa yang munasabah untuk terus menggunakan 'umpan' dan ugutan supaya kelangsungan pemerintahan dipertahankan.

Itu dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang turut berkata parti berkenaan memahami sebab darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

“Pada saya, ini tidak demokratik,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-239 bertajuk ‘Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi Atau Terdesak? yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Timbalan Pengerusi Lajnah IT dan Data Raya Pas Pusat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Shamsul Iskandar mendakwa, institusi negara ini juga dijadikan sebagai senjata untuk mempertahankan kerajaan autoritarian.

“Kita membantah usaha yang dibuat dalam beberapa siri pengkhianatan yang berlaku.

“Menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), menawarkan pelbagai kedudukan dan jawatan sebagai kerajaan.

“Adakah ini suapan? Kalau ikut tafsiran yang diberikan di peringkat awal ia jelas dalam kerangka rasuah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menyifatkan perkara berkenaan sebagai jelek dan jijik.

Tegasnya, perkara seperti itu seharusnya dihentikan oleh semua pihak.