X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa wanita mampu bendung gejala rasuah

Golongan wanita mampu main peranan bendung rasuah. - Foto 123RF
A
A

IPOH - Golongan wanita mampu memainkan peranan bagi membanteras rasuah dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Naib Pengerusi Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Ezatul Farita Rohawi berkata, bagi tujuan tersebut, mereka harus diberikan pengetahuan yang tinggi tentang integriti, patriotisme dan keburukan rasuah ini sejak dari bangku sekolah.

Menurutnya, menginjak dewasa setelah menjadi isteri dan ibu, mereka akan menjadi rujukan utama dalam keluarga dari segenap segi sekali gus mampu menyekat perilaku negatif termasuklah rasuah.

“Tangan yang menghayun buaian inilah yang akan mendidik anak-anak sejak dari dalam kandungan dan di dalam rumah itu sendiri.

“Para ibu dan isteri juga boleh berperanan membuat semakan berkala kepada pasangan serta anak-anak jika terdapat unsur-unsur tidak baik mula berlaku di dalam keluarga.

“Mereka haruslah menegur dan berani bersuara jika benar rasuah sudah mula berlaku di dalam keluarga. Perbincangan berhemah dan mencari kata sepakat bersama antara kaedah yang dapat dilakukan bagi membendung perkara rasuah dalam kalangan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Ezatul Farita berpandangan, kesedaran masyarakat terhadap bahayanya gejala rasuah masih pada tahap rendah dan membimbangkan.

Katanya, kegiatan rasuah itu berlaku di semua peringkat tidak kira dalam kalangan profesional mahu pun pemain-pemain industri tanpa mengira peringkat usia sama ada muda, dewasa, lelaki atau wanita.

Tegasnya, keadaan itu berlaku seperti satu budaya demi mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah melalui jalan singkat.

“Namun sebagai aktivis yang terlibat dalam gerakan NGO, kami berusaha mencipta budaya kerja yang berbeza di dalam komuniti dengan sentiasa melibatkan diri dalam kerja amal, kerja sukarela bersama komuniti agar nilai-nilai murni dapat dipupuk dalam kalangan aktivis dan juga komuniti yang terlibat.

“Saling ingat-mengingati di dalam komuniti yang kecil ini akhirnya akan memberi impak yang tinggi kepada generasi ke hadapan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!