Suami isteri perlu segera dibedah dibantu

Mohd Hafiz Shukor (kiri) menemui Shahril (tengah) dan isterinya, Normaliz (dua dari kiri) di kediamannya di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Kluang, pada Selasa.
Mohd Hafiz Shukor (kiri) menemui Shahril (tengah) dan isterinya, Normaliz (dua dari kiri) di kediamannya di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Kluang, pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Derita sepasang suami isteri yang menghidap penyakit kronik dan merayu bantuan untuk kos pembedahan mereka mendapat perhatian Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, wakil pihaknya sudah melawat Shahril Painoh, 44, dan Normaliz Arbain, 42, di rumah mereka di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam dekat sini.

Onn Hafiz berkata, pegawai khasnya, Mohd Hafiz Shukor mendapati memang benar pasangan itu memerlukan bantuan dan pihaknya akan memberikan bantuan kebajikan dan kesihatan untuk keluarga lima beranak itu.

"Laporan perubatan menunjukkan satu inci tulang yang terletak di lengan kiri Shahril hancur manakala Normaliz disahkan memiliki dua injap jantung berlubang sejak lebih setahun lalu.

"Berikutan itu, satu perbincangan dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian membantu keluarga ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pasangan itu pada Selasa.

Pada 12 Mac lalu, Sinar Harian menyiarkan penderitaan pasangan tersebut yang memerlukan sebanyak RM30,000 bagi menampung dua kos pembedahan yang perlu dijalani mereka dengan segera.

Pasangan berkenaan yang tidak mampu bekerja kini hanya bergantung hidup dengan anak sulungnya iaitu bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala dua lagi anak mereka masih bersekolah.

Onn Hafiz berkata, MAINJ bersetuju menyalurkan bantuan kewangan secara bulanan sepanjang tempoh Perkeso memproses untuk menerima faedah skim ilat kepada pasangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Shahril memerlukan RM8,000 untuk proses pembedahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, manakala Normaliz memerlukan RM22,000 untuk kos pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pihaknya juga akan bekerjasama dengan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk membantu dua anaknya yang masih bersekolah itu.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Shahril menerusi talian 01110816339 atau salurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Shahril Painoh 0114741100017561.