Wanita mampu mendepani cabaran

Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu. - Foto 123RF
Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA berbanding beberapa negara lain di seluruh dunia telah menyaksikan pelbagai kemajuan untuk golongan wanita.

Selain pencapaian dalam pendidikan yang mendorong seseorang wanita itu membentuk kerjaya dalam bidang profesional, kebanyakan wanita kini tidak kira tahap pendidikan, berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga dan secara tidak langsung ia meningkatkan produktiviti ekonomi negara.

Apa juga bidang kerja yang dahulunya sinonim atau dikuasai golongan lelaki, hari ini wanita turut sama menyertainya.

Wanita yang kini membentuk lebih 15 juta daripada penduduk di Malaysia, peranannya sudah tentu bukan lagi terhad dalam menggalas tugas-tugas tradisi menjaga hal ehwal keluar-ga dan rumah tangga.

Setiap tahun, kerajaan meraikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada wanita atas sumbangan mereka dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Sambutan itu juga memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat, khususnya wanita tentang peranan mereka yang semakin mencabar dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan politik untuk mengharumkan nama Malaysia.

Tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2021 iaitu 'Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ sangat berketepa-tan, ekoran pelbagai cabaran dihadapi golongan wanita.

Tema yang menekankan perjuangan wanita dalam pembangunan masyarakat telah sekian lama menjadi asas perjuangan gerakan wanita peringkat global dalam kerangka perjuangan hak asasi.

Artikel Berkaitan:

'Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ bukan sahaja dalam kerangka cabaran hak asasi tetapi untuk kembali kepada prinsip asas yang mengaitkan antara peranan, tanggungjawab dan hak wanita dalam aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat serta negara.

'Cabaran’ yang dimaksudkan mungkin datang dalam pelbagai konteks, namun bersesuaian dengan keadaan semasa.

Kita masih dibelenggu pandemik Covid19, wanita juga tidak ketinggalan memainkan peranan, khususnya mereka yang berada di barisan hadapan.

Tidak dilupakan juga buat ibu-ibu yang bekerjaya dengan mengambil kira prinsip mendepani cabaran, menuntut kepada perlunya diwujudkan skim perkhidmatan yang lebih fleksibel dan penyediaan pusat penjagaan anak-anak.

Ia akan membolehkan mereka terus menyumbang secara produktif tanpa mengabaikan tanggungjawab asas mereka kepada keluarga.

Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu.

Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara.

Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah.

Ia berlaku kerana ramai wanita terpaksa berhenti kerja ekoran pandemik dan atas faktor tertentu. Ia tidak boleh dibiarkan.

Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan khusus untuk wanita di seluruh Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

Perjuangan membela nasib wanita yang kurang bernasib baik juga perlu dilihat dari sudut kesaksamaan yang bermaksud berlaku adil dalam menentukan hak dan tanggungjawab serta meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak berlaku sebarang bentuk diskriminasi.

Wanita perlu terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan perjuangan mereka disedari serta diiktiraf.

Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita dan meningkatnya pendapatan serta kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh.

Secara khusus, penghargaan juga harus diberikan kepada wartawan dan editor serta wanita-wanita lain yang terlibat dalam kewartawanan.

Teruskan menghasilkan penulisan berkualiti dan mampu membuka minda rakyat terutama golongan wanita.

* Shafezah ialah pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka