X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah mesin taip abah

A
A

BUKAN gesekan biola Hamzah Dolmat, bukan alunan keroncong Sarbanun Marican, bukan syair Jah Lelawati yang mengiringi tidur kami sekeluarga pada zaman saya kanak-kanak dahulu. Bukan semua itu.

Sebaliknya saban malam, yang bergema tanpa irama khusus adalah bunyi ketukan mesin taip abah. Tuk tak! Tuk tak! Tuk tak! Shreettt! Tuk tak! Tuk tak! Tuk tak! Shreettt! Berulang-ulang.

Saya bukan sahaja membesar bersama bunyi itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bunyi itu jugalah yang ‘membesarkan’ saya dan seluruh ahli keluarga.

Sebabnya, arwah abah saya bekerja sebagai pembuat surat dan penulis dokumen perjanjian.

Dulu-dulu sering disebut ‘penulis petisyen’, ‘penulis surat rayuan’ atau ‘penulis surat teriak’.

Bukan semua orang boleh menjadi penulis petisyen. Ada mesin taip sebesar almari baju sekalipun kalau tiada lesen, anda tidak boleh menawarkan perkhidmatan.

Hendak mendapat lesennya pula bukanlah mudah. Ada syarat-syaratnya termasuk mendapatkan sokongan daripada ketua agensi di tempat atau kawasan beroperasi.

Kalau di kampung-kampung, surat penghululah agaknya.

Saya tidak tahu pada era sebelumnya tetapi sekitar tahun 1980-an, pekerjaan abah itu ada ‘glamornya’ yang tersendiri.

Abah beroperasi di anjung rumah sebelum membuka pejabat di bawah pawagam di Sungai Besar.

Pelanggan abah bukan sahaja orang kampung tetapi juga kakitangan kerajaan yang tidak boleh menaip atau tidak cukup masa untuk menaip sendiri surat-menyurat mereka.

Bermacam jenis surat mereka minta abah buat. Yang paling lazim, surat perjanjian jual beli, sewa tanah, pajak sawah dan sebagainya.

Selain itu, ayah juga diminta menulis surat permohonan dan surat rayuan. Tidak kurang juga yang meminta bantuan mengisi borang.

Pendek kata, asal ada kaitan dengan surat-menyurat, abahlah yang menjadi tumpuan orang kampung.

Cuma surat cinta dan surat cerai sahaja abah tak campur, yang satu itu urusan posmen, yang satu lagi urusan pejabat kadi.

Ramai juga yang tidak tahu penulis surat rayuan seperti lawyer di kampung.

Ia bukan sahaja menjadi pembuat surat tetapi juga rujukan peraturan pejabat tanah dan permohonan pengurangan denda. Sesekali juga menjadi penterjemah perjanjian.

Saya tidak tahu jumlah bayaran yang abah kenakan bagi setiap perkhidmatan yang diberi.

Tetapi saya biasa juga dengar pelanggannya berkata ‘nanti bila ada duit saya bayar’, 'kalau tanah dah selesai jual, saya akan bayar' atau ‘wak tak ada duit nak bayar tapi esok-esok wak belanja kopi’.

Yang saya tidak pernah dengar adalah: “Nah, saya bagi RM100 sebagai upah penat lelah buat surat tadi.”

Sama dengan perniagaan-perniagaan lain, abah terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan tetapi saya tengok, tidak kira bagaimana sikap pelanggannya, abah terima dengan elok. Dia tetap senyum. Abah memang baik. Sama macam saya.

Kedatangan komputer pada awal 1990-an sedikit demi sedikit menumpulkan ‘taring’ mesin taip.

Kadar celik huruf yang kian tinggi, disusuli budaya ‘salin dan tampal’ menyebabkan perkhidmatan penulis surat berlesen semakin hilang serinya.

Ini ditambah lagi borang-borang kerajaan diisi secara on line. Mesin taip abah perlahan-lahan beralih tempat, dari meja di pejabatnya ke sudut rumah dan akhirnya berlabuh terus di bawah almari.

Sebenarnya, jika dia mahu, abah boleh meneruskan pekerjaan itu. Sampai sekarang ini masih terdapat ramai penulis surat berlesen di seluruh negara.

Mereka boleh ditemui di mana-mana sahaja pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan orang awam, misalnya pejabat tanah dan daerah.

Sebahagian mereka masih menggunakan mesin taip tetapi banyak juga yang beralih kepada komputer. Tetapi abah memilih untuk bersara awal. Agaknya abah jemu membaca ayat-ayat yang hampir sama setiap hari.

Yalah, struktur ayat surat perjanjian, surat permohonan, surat rayuan atau surat apa pun yang disediakan oleh penulis petisyen selalunya sama sahaja dari segi kerangka dan susunan. Yang berubah hanya pada bahagian butiran faktanya.

Pengaruh

Mesin taip abah sebetulnya meninggalkan pengaruh tersendiri terhadap kehidupan saya. Setiap kali melihatnya, saya sentiasa teruja untuk menyentuh dan setiap kali ada kesempatan, saya tidak akan melepaskan peluang menggunakannya.

Dengan mesin itulah, saya belajar menaip dan menulis rencana. Bermula dengan mematuk satu demi satu huruf sehingga akhirnya dapat menaip dengan lancar.

Pada masa itu syarat untuk menjadi jurutaip di pejabat-pejabat kerajaan adalah boleh menaip sekurang-kurangnya 40 perkataan seminit.

Saya tidak pernah menguji kepantasan saya menaip. Tetapi rasa-rasanya kalau ada syarat semakin laju seseorang itu menaip semakin tinggi pangkat ditawarkan, saya mungkin layak menjadi ADO.

Ketika menuntut di politeknik, saya memiliki mesin taip sendiri. Saya beli dengan harga RM180. Mesin taip berjenama Olivetti itu saya gunakan untuk menyiapkan tugasan.

Mesin taip abah memang masih ada tetapi sangat tidak praktikal untuk diangkut ke asrama. Saiznya besar gedabak. Berat. Kalau jatuh menimpa kaki, mungkin boleh patah sehingga ke tulang rusuk.

Ia berbeza daripada Olivetti saya yang bersifat ‘portable’, mudah dibawa ke mana sahaja terutama untuk ditayang-tayang kepada rakan-rakan perempuan.

Tetapi kemampuan mesin taip saya terbatas. Hanya kertas bersaiz A4 atau lebih kecil sahaja boleh digunakan. Mesin taip abah pula boleh dimuatkan dengan kertas bersaiz A3.

Selain itu, ia boleh digunakan untuk membentuk corak bunga, sesuatu yang tidak boleh dibuat dengan Olivetti saya.

Untuk membuat kad jemputan kahwin secara ringkas, mesin taip abah sangat sesuai.

Masukkan kertas stensil, bentuk corak bunga-bungaan dengan mesin taip tersebut, kemudian taiplah apa yang patut.

Kertas stensil itu kemudian bolehlah dihantar ke kedai cetak atau mana-mana tempat yang ada mesin cyclostyle.

Dengan menggunakan kertas stensil itu sebagai ‘master’nya, mesin tersebut boleh mencetak ratusan atau ribuan salinan, bergantung kepada kehendak seseorang.

Dengan cara ini jugalah kertas soalan ujian di sekolah dicetak pada masa dahulu.

Hampir semua sekolah ada mesin cyclostyle, yang kadang-kadang disebut juga mesin penggelek.

Semua mesin taip memerlukan ribon dakwat untuk membolehkannya berfungsi. Tanpa ribon bermakna samalah seperti menulis tanpa dakwat.

Ribon ada jua jenis, hitam sepenuhnya atau separuh hitam separuh merah. Itu sahaja. Jangan mengharap ada ribon berwarna-warni.

Satu fakta yang menarik tentang mesin taip adalah tiada siapa boleh mendakwa dirinya sebagai pencipta mesin taip yang pertama.

Sebabnya sejak abad ke-16, mesin taip telah dicipta oleh pelbagai orang, daripada pelbagai negara dan dalam pelbagai bentuk mengikut kehendak dan kemahiran masing-masing.

Di Brazil sebagai contoh, pada tahun 1961, seorang paderi bernama Francisco João de Azevedo telah membuat mesin taipnya sendiri dengan menggunakan kayu dan pisau. Hasil ciptaannya mengujakan seluruh rakyat Brazil, malah Maharaja D Pedro II menghadiahkan pingat emas kepada Azevedo.

Kerajaan Brazil kemudian mengisytiharkan paderi tersebut sebagai pencipta mesin taip.

Pengisytiharan yang menyebabkan Brazil menjadi bahan ketawa di seluruh dunia kerana ketika itu sudah ada puluhan model mesin taip di pasaran yang terhasil daripada ciptaan puluhan orang.

Selepas menyumbang bakti dan menjadi simbol prestij untuk suatu tempoh yang agak lama, mesin taip kini sudah hilang popularitinya.

Munculnya lebih sering di pasar-pasar karat. Dibeli bukan lagi kerana keperluan tetapi kerana hobi. Disimpan bukan untuk diguna tetapi untuk ditunjuk-tunjuk.

Sama macam orang beli pinggan mangkuk mahal-mahal simpan dalam almari jugalah. Alahai.#dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!