X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan buang masa orang lain

A
A

BERITA yang tidak tentu dari mana arah sumbernya kini berleluasa kembali.

Jika dahulu, ia banyak tersebar melalui emel dan platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Telegram, kini ia sampai terus kepada kita melalui kumpulan sembang yang popular iaitu WhatsApp.

Ia menjadi tular kerana berita-berita dalam bentuk teks, foto, audio mahupun video galak dikongsi.

Adalah normal bagi kita untuk mempercayai apa yang disampaikan oleh orang dikenali. Sebab itu, kita suka hendak panjangkan kepada orang lain.

Namun, kita terlupa bahawa apa yang diterima daripada orang dikenali itu tidak semestinya sesuatu yang sahih.

Kita yang menerima sesebuah mesej pula akan memanjangkannya kerana dua sebab.

Pertama, apabila berasa apa yang diperoleh itu penting untuk diketahui oleh mereka di sekeliling kita.

Kedua, berasa bangga kerana menjadi penyampai sesuatu yang mempunyai nilai berita.

Penyebaran berita ini juga disemarakkan dengan kewujudan kian banyak portal berita bebas oleh kumpulan dan individu yang menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

Jika dahulu, hanya media akhbar, televisyen dan radio arus perdana yang diyakini.

Kini, individu yang meminati bidang media massa juga boleh membuka portal atau laman di media sosial.

Meningkatnya pengetahuan bahawa seseorang itu boleh buat duit di media sosial khususnya di YouTube juga menambah bilangan pemain dalam bidang penyampaian berita.

Kerana ghairahnya hendak buat duit, banyak berita yang copy and paste daripada media perdana secara mudahnya akan diulang dalam bentuk video dengan ditambah dua tiga baris teks.

Terdapat semakin banyak saluran YouTube dengan tuan punya bertindak sebagai hos, mengulas berita yang diperoleh dari sudut pandang berbeza.

Malah, ada yang lebih selamba memaparkan video yang disedut dari saluran lain dan kemudian memainkan lalu diulas kembali seolah-olah ia bahan baharu.

Akhirnya, jika kita tidak berhati-hati, banyak masa akan terbuang kerana melihat video sama, cuma daripada hos berbeza.

Kita menonton yang berita sama ditonton hingga tiga kali kerana mengharapkan kupasan berbeza tetapi ia jarang diperoleh kerana terdapat tuan punya saluran YouTube yang menggunakan cara umpan klik atau click-bait iaitu menarik minat kita untuk menjadi subscriber semata-mata dengan tajuk video sensasi.

Siapa yang tidak mahu tonton video bertajuk ‘Oh ini rupanya layanan yang PM kita terima di Makkah’ atau ‘Apakah ini pakaian artis yang baru kahwin?’

Sedangkan, bila ditonton, ternyata ia mengenai layanan formal terhadap PM dan foto artis yang hanya memakai baju kurung! Tajuknya memukau, videonya alahai.

Bagaimanakah kita hendak kenal mana satu berita benar, mana satu yang spekulatif dan mana satu yang palsu?

Berita yang benar sepatutnya diperoleh daripada rakaman secara langsung mahupun sidang media secara rasmi.

Jika tidak pun, kenyataan akhbar yang dikeluarkan pihak yang berkenaan sudah cukup sebagai panduan.

Seandainya berita yang diperoleh itu tidak benar, tuan punya badan mahupun pihak yang berkenaan akan membuat penafian rasmi.

Jika tiada penafian, itu bermakna pihak berkenaan tidak mahu melayani sesebuah dakwaan, menunggu waktu sesuai untuk menjawab atau mungkin berita itu benar namun tidak mahu mengulasnya.

Laporan berbentuk infografik, audio mahupun video tidak perlu diambil peduli selagi tidak ditemui dari manakah sumbernya. Laporan sebegitu tidak perlu ditatap.

Tidak perlu juga menjadi bahan perbincangan dalam kumpulan hingga mengakibatkan ada yang left group. Buang sahaja berita tanpa sumber itu daripada simpanan telefon. Jika disebar, kita membuang masa diri dan membuang masa kawan-kawan kita membaca bahan yang sia-sia.

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Agaknya kita sering membuang waktu melayani berita tanpa sumber kerana terlupakan panduan daripada al-Quran ini.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!