X

Kindly register in order to view this article
!

Berjayakah AS tamatkan perang Yemen?

Perang di Yemen yang berlaku lebih enam tahun lalu sudah menyebabkan lebih 200,000 orang terbunuh. - Foto AFP
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) kini berusaha untuk menamatkan perang di Yemen yang sudah berlanjutan lebih enam tahun di bawah pentadbiran Presidennya yang ke-46, Joe Biden sejak beliau mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu.

Washington juga telah menarik balik sokongannya ke atas serangan tentera perikatan diketuai Arab Saudi ke atas Yemen sebagai usaha bagi menamatkan perang di negara berkenaan.

Tindakan itu dilakukan selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa perang di negara itu mungkin mencatatkan jumlah mangsa kebuluran yang ramai.

Sebelum ini, Presiden AS ke-45, Donald Trump memberikan sokongan ke atas tentera perikatan diketuai Riyadh yang melakukan serangan ke atas kumpulan Houthi selepas ia merampas ibu kota Sanna daripada kerajaan awam pada September 2014.

Peperangan itu bermula pada tahun yang sama apabila para pemberontak daripada kumpulan Houthi berfahaman Syiah yang didakwa mendapat sokongan Iran menentang kerajaan mazhab Sunni serta berjaya merampas bandar Sanaa.

Kumpulan tersebut dikatakan menuntut harga minyak dijual dengan murah dan sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi.

Bagaimanapun, setelah rundingan antara kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, anggota-anggota kumpulan tersebut merampas Istana Presiden menyebabkan Hadi melarikan diri ke pelabuhan Aden, selatan Yemen pada Januari 2015 dan seterusnya hidup dalam buangan di Arab Saudi.

PBB pula menyokong kerajaan awam itu yang dipilih melalui pilihan raya tetapi perang tersebut merebak menjadi lebih besar apabila tentera perikatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara bagi memulihkan semula pentadbiran Hadi.

Ekoran itu, tentera perikatan diketuai Arab Saudi kemudian melakukan sekatan di laut, daratan dan udara di Yeman selepas kumpulan Houthi melancarkan serangan ke atas Riyadh pada November 2017.

Selepas Biden menjadi Presiden AS pada awal tahun ini, negara itu bertindak membekukan buat sementara waktu penjualan pakej senjata kepada Arab Saudi dan jet-jet tempur kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut menyertai serangan ke atas kumpulan Houthi di Yemen.

Kumpulan Houthi pula meningkatkan serangan dron dan misil ke atas negara jirannya selepas pentadbiran AS juga memutuskan untuk tidak menyokong tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi melakukan serangan ke atas Yeman.

Setakat ini tidak ada kematian dicatatkan ekoran serangan dron dan misil ke atas Riyadh oleh kumpulan Houthi melainkan beberapa buah kemudahan minyak di Arab Saudi terbakar dan mengalami kerosakan.

Sekatan dilakukan tentera perikatan diketuai Arab Saudi ke atas Yemen mendapat bantahan daripada penyokong kumpulan Houthi di negara yang dilanda peperangan itu baru-baru ini. - Foto AFP
Sekatan dilakukan tentera perikatan diketuai Arab Saudi ke atas Yemen mendapat bantahan daripada penyokong kumpulan Houthi di negara yang dilanda peperangan itu baru-baru ini. - Foto AFP

Sebagai usaha mencari keamanan di negara tersebut, Washington dilaporkan menghantar Utusan Khas AS ke Yemen, Tim Lenderking untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Perunding Houthi, Mohammed Abdusalam.

Menurut sumber, pertemuan itu yang diadakan di Muscat, Oman pada Februari lalu namun butiran tentang apa yang diperbincangkan tidak didedahkan kepada umum tetapi Lenderking didakwa meminta Houthi menghentikan serangan di Marib dan menggalakkan pergerakan berkenaan terlibat dengan perbincangan secara maya mengenai gencatan senjata dengan Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi dengan sokongan PBB juga dilaporkan mengadakan rundingan lebih setahun untuk mencapai perjanjian gencatan dengan Houthi tetapi masih gagal menemui penyelesaian terhadap perang di negara berkenaan.

Baru-baru ini, Lenderking dilaporkan berkata, kepimpinan Arab Saudi turut memberikan sokongan penuh kepada usaha AS bagi menamatkan perang yang berlaku di Yemen.

Namun, pada 13 Mac lalu, Houthi menolak rancangan bagi menamatkan perang seperti yang disyorkan oleh Washington dengan ia akan meletakkan Yemen berada dalam kedudukan lebih berbahaya sebelum ini.

Seorang jurucakap Houthi dilaporkan berkata kepada sebuah stesen televisyen Yemen di Beirut, Lubnan bahawa cadangan oleh AS itu tidak menyatakan tentang sekatan ke atas negara itu ditarik balik atau satu gencatan senjata akan diadakan, lapor portal berita Al Arabiya.

Perang itu dilaporkan telah menyebabkan lebih 230,000 orang terbunuh termasuk lebih 130,000 lagi terkorban antaranya kekurangan makanan dan perkhidmatan kesihatan.

Namun, setakat ini, Linderking masih berusaha bagi mencari penyelesaian untuk menamatkan peperangan di Yemen dan dilaporkan akan kembali ke negara itu setelah Houthi bersedia untuk mengadakan rundingan damai. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!