Pakar undang-undang sivil, syariah bincang cabaran perundangan Islam

Pertemuan melibatkan pakar undang-undang sivil dan syariah diadakan bagi membincangkan cabaran-cabaran dihadapi oleh perundangan syariah di negara ini. - Foto FB Ustaz Marzuk Shaary
Pertemuan melibatkan pakar undang-undang sivil dan syariah diadakan bagi membincangkan cabaran-cabaran dihadapi oleh perundangan syariah di negara ini. - Foto FB Ustaz Marzuk Shaary
A
A
A

SHAH ALAM - Satu pertemuan melibatkan pakar undang-undang sivil dan syariah diadakan bagi membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh perundangan syariah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, usaha tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk memberikan tumpuan yang seimbang kepada perundangan dan kehakiman syariah, tanpa mengesampingkan agenda dakwah serta kemajuan sosio ekonomi Islam.

"Kita harapkan agar pada masa akan datang kita boleh merapatkan lagi jurang yang ada antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sidang meja bulat yang diadakan itu turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Shabudin Yahya.

Pada 10 Febuari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut dibenarkan untuk digunakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Artikel Berkaitan: