X

Kindly register in order to view this article
!

LPNM tingkat keluasan tanaman nanas negara

Dari kiri; Mohd Khairulzamri, Sahruddin, Ronald dan Anis pada Majlis Penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Rakyat Pengusaha Nanas di Pusat Informasi Nanas, Laman Nanas MAEPS Serdang, Selangor pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan meningkatkan keluasan tanaman nanas negara daripada 16,000 hektar kepada 20,000 hektar dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula 2021 hingga 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia bagi menampung permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran eksport, malahan permintaan untuk dalam negara.

Menurutnya, nanas merupakan tanaman yang telah dikategorikan oleh kerajaan sebagai sumber kekayaan baharu negara susulan permintaannya yang tinggi terutama pasaran eksport seperti varieti premium MD2.

“Buat masa ini, kapasti negara untuk mengeluarkan nanas ialah 400,000 tan metrik dengan nilai lebih RM500 juta setahun. Walaupun begitu, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk pasaran nanas MD2 di luar negara serta pasaran tempatan.

“Saya yakin sektor nanas akan terus menjadi sektor yang berdaya maju dengan situasi negara-negara dunia dalam proses pemulihan dan pemvaksinan (vaksinasi) Covid-19. Oleh itu, eksport nanas dijangka terus berkembang sebanyak lima peratus setahun bagi tempoh RMK12 ini.

“Eksport nanas negara mencatatkan jumlah RM490 juta bagi tahun 2019 berbanding RM343 juta pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Rakyat Pengusaha Nanas di Pusat Informasi Nanas, Laman Nanas MAEPS Serdang, Selangor pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Dr Anis Mahmod; Pengerusi LPNM, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairulzamri M Salleh.

Penyampaian insentif tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan nilai insentif yang diterima oleh LPNM sebanyak RM13 juta di bawah PRE Prihatin Rakyat.

Dalam pada itu, Ronald berkata, terdapat perkembangan positif cadangan mewujudkan LPNM di Sabah bagi meningkatkan pengeluaran dan meluaskan penanaman nanas negara.

Menurutnya, ia menerusi kunjungan rasmi beliau dan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah LPNM terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor serta Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan pada 19 Februari lalu.

“Beberapa perkara penting telah dibincangkan dengan beliau dalam pertemuan tersebut untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara.

“Ini adalah satu perkembangan positif bagi industri nanas keseluruhannya dan tindakan lanjut susulan perbincangan tersebut sedang diambil oleh MAFI bagi merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat,” kata Ronald.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!