Navalny kirim khabar dari penjara

Tangkap layar catatan Navalny yang dikongsi di Instagram pada Isnin. - Foto Agensi
Tangkap layar catatan Navalny yang dikongsi di Instagram pada Isnin. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - "Saya dipenjarakan di kem tahanan sebenar."

Pendedahan itu dibuat pengkritik Kremlin, Alexei Navalny yang kini sedang menjalani hukuman penjara dua tahun setengah di penjara koloni di luar ibu negara Rusia pada Isnin sekali gus mengesahkan laporan yang mendakwa ahli politik pembangkang itu ditempatkan di kemudahan membabitkan lebih 600 rangkaian di negara tersebut.

“Saya perlu mengakui sistem penjara di Moscow sememangnya mengejutkan. Saya tiada idea bagaimana pusat tahanan seperti ini boleh didirikan,” katanya di Instagram bersama foto lama dirinya.

Menurutnya, beliau kini ditempatkan di Penal Colony No 2 di bandar Pokrov, wilayah Vladimir di timur laut Moscow dan kepalanya turut dibotakkan.

“Terdapat sistem kamera litar tertutup (CCTV) di serata tempat. Gerak-geri anda sentiasa diperhatikan,” ujarnya.

Navalny yang membongkar ‘istana mewah Presiden Vladimir Putin’ itu bagaimanapun menyatakan beliau belum melihat sebarang insiden kekejaman di kemudahan tersebut seperti yang didakwa menerusi laporan sebelum ini.

Awal bulan lalu, aktivis politik, Konstantin Kotov yang meringkuk selama hampir dua tahun di koloni itu kerana melanggar peraturan protes mendakwa tahanan di kemudahan tersebut diberi layanan tidak berperikemanusiaan.

Olga Mikhailova, peguam kepada Navalny turut mengesahkan aktivis antirasuah itu dipenjarakan di koloni tersebut dan masih dibenarkan untuk bertemu dengannya. - AFP

Artikel Berkaitan: