X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Harimau Selatan tak gusar berdepan Red Giants tanpa Safawi

Safawi mengalami kecederaan lutut kiri ketika perlawanan menentang UiTM FC pada Sabtu lalu.
A
A

KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak gusar turun tanpa tonggak Harimau Selatan, Safawi Rasid berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Sebaliknya, pengendali dari Mexico itu mempunyai beberapa pemain lain di posisi sayap kanan menggantikan pemain prolifik berusia 24 tahun itu yang mengalami kecederaan lutut kiri ketika aksi menentang UiTM FC, Sabtu lepas.

Pemain muda berusia 18 tahun, Arif Aiman Hanapi selain Ramadhan Saifullah Usman, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz merupakan antara pilihan yang ada bagi Mora untuk mengisi posisi tersebut.

“Saya sememangnya belum tahu lagi untuk menurunkan siapa sebagai penggantinya (Safawi). Saya bernasib baik kerana pemain-pemain ini sentiasa beraksi dengan begitu cemerlang jika diberi ruang, semua ini hanya berkenaan pemain dan saya hanya bertindak sebagai pemberi keyakinan kepada mereka.

“Safawi sememangnya seorang pemain terbaik di Malaysia, sepertimana yang saya pernah beritahu banyak kali sebelum ini tetapi inilah bola sepak, ada masanya anda perlu berehat untuk sembuh daripada kecederaan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa.

Rekod pertemuan musim lalu memihak kepada JDT yang melakar kemenangan besar 6-1 berdepan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim, dengan Safawi meledak dua jaringan pada perlawanan itu selain Ramadhan (dua gol) serta masing-masing satu menerusi Diogo Luís Santo dan Gonzalo Cabrera.

Perlawanan lain esok melibatkan pertemuan antara Kuala Lumpur City FC dan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur; Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang PJ City FC di Stadium Darul Aman; manakala Terengganu FC akan berdepan Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!