Kelantan United FC, JDT II kongsi mata di Kota Bharu

Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang JDT II di Stadium Sultan Muhammad IV pada petang Selasa. Foto: Kelantan United Football Club
Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang JDT II di Stadium Sultan Muhammad IV pada petang Selasa. Foto: Kelantan United Football Club
A
A
A

KELANTAN United gagal meneruskan rentak kemenangan dua kali berturut-turut sebelum ini apabila terikat 0-0 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT II) dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Selasa.

Kelantan United yang turun dengan misi meraih kemenangan terlebih dahulu mencipta kejutan menerusi rembatan deras Mohamad Fazrul Amir Zaman pada minit kelima bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Enam minit kemudian, JDT II hampir memecah kebuntuan namun tonggak import Kelantan United, Shuhei Fukai sempat menguis bola rembatan pemain lawan daripada menerjah jaringan ketika Mohammad Fikri Che Soh sudah tertewas.

Aksi berbalas serangan terus dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dalam usaha memecahkan kebuntuan jaringan.

Minit ke-28, Muhammad Juzaerul Jasmi mempersiakan peluang terhidang memecah kebuntuan jaringan apabila sepakan lemahnya terus ke dakapan penjaga gawang JDT II, Muhammad Haziq Nadzli.

Luis Ignacio Cabrera pula melepaskan peluang terbaik JDT II untuk mendapatkan jaringan apabila sepakan lemahnya pada minit ke-31 terus didakap kemas oleh

Muhammad Fikri.

Kekecewaan jelas terpancar diraut wajah kapten The Green Deers, Mohd Badhri Mohd Radzi apabila rembatan padu dari kawasan kotak penalti JDT II berjaya ditangkap kemas oleh Muhammad Haziq.

Artikel Berkaitan:

Masuk babak kedua, JDT II dilihat lebih banyak menguasai perlawanan, namun ketumpulan penyudah cukup mengecewakan Rafeal Francisco Gil Sanchez selaku pengendali pasukan.

Tersentak dengan serangan bertali arus pelawat, tuan rumah cuba bangkit namun dihampakan oleh ketumpulan barisan penyudah.

Usaha kedua-dua pasukan untuk memecahkan kebuntuan jaringan terus gagal apabila setiap peluang terhidang gagal diterjemahkan dengan baik oleh jentera serangan masing-masing.

Barisan pemain Kelantan United FC hanya mampu berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang JDT II FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.