Segerakan suntikan vaksin pekerja sektor perkilangan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan agar suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dapat disegerakan kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan itu berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 14 Mac menyatakan 12 daripada 19 kluster yang aktif di negeri ini melibatkan sektor perkilangan.

Menurutnya, dengan pelaksanaan berkaitan dan turut dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) inisiatif tersebut berkemungkinan besar mampu menurunkan kadar jangkitan kes-kes di negeri ini.

"Saya turut menyeru agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ sebagaimana dibentangkan pada 3 Mac lalu.

"Pelaksanaan itu membabitkan semua kilang-kilang yang beroperasi di negeri ini dengan mengambil kira kos serta insentif perlu kepada pihak perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Kon Yeow berkata, cadangan berkenaan telah diutarakan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri menerusi sidang video pada Isnin.

Katanya, perkara itu memperoleh maklum balas positif daripada ahli-ahli mesyuarat lain dan Perdana Menteri meminta agar KKM menelitinya bagi pelaksanaan dalam tempoh sesegera mungkin.

Artikel Berkaitan: