Rogol: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara kontraktor 18 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan yang dijatuhi ke atas seorang kontraktor kerana merogol anak tirinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk M Gunalan menolak rayuan lelaki berusia 56 itu terhadap sabitan serta hukuman penjara bagi pertuduhan pertama yang dihadapinya.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua merogol mangsa sama yang dihadapinya.

Panel itu turut menolak rayuan pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama terhadap tertuduh dan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada pertuduhan kedua.

Abdul Karim, yang mempengerusikan panel itu, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah tersebut berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh sudah memadai.

Mengikut pertuduhan pertama, kontraktor itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Kota Bharu, Kelantan pada 9 Jun 2014 dan bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada Jun 2016 di sebuah rumah di Bachok, Kelantan.

Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu semasa ibu mangsa, yang juga isteri keduanya, berada di hospital kerana melahirkan anak bongsu mereka.

Pada 2019, Mahkamah Sesyen telah membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan namun selepas pendakwaan mengemukakan rayuan, Mahkamah Tinggi mensabitkannya dengan kesalahan pertama namun mengekalkan keputusan membebaskan kontraktor itu daripada pertuduhan kedua.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Shukri Mohamed mewakili kontraktor itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke hadir bagi pihak pendakwaan.

Dalam kes lain, panel sama memerintahkan seorang penolong pegawai pendidikan menjalani hukuman penjara 12 bulan kerana mencabul kehormatan seorang guru perempuan hampir lima tahun lepas.

Abdul Karim membenarkan rayuan pendakwaan untuk menghidupkan semula keputusan Mahkamah Majistret yang mendapati Ahmad Zaini Bakar bersalah mencabul kehormatan mangsa yang ketika itu berusia 32 tahun di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam berhampiran Klang pada 20 Mei 2016.

Mahkamah Rayuan membuat perintah itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 yang membebaskan Ahmad Zaini daripada pertuduhan.

Panel itu juga membenarkan rayuan pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara terhadap Ahmad Zaini, 58, daripada tujuh bulan kepada 12 bulan serta mengeluarkan waran komital terhadap tertuduh untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman tersebut.

Pada 2018, Mahkamah Majistret telah mensabitkan Ahmad Zaini dengan pertuduhan mencabul dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan serta mengarahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM4,000.

Peguam Ahmad Ishrakh Saad, yang mewakili Ahmad Zaini, memberitahu pemberita bahawa anak guamnya akan kehilangan ganjaran dan pencen selepas hukuman penjara dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama