Kompaun RM10,000 boleh dirayu untuk dikurangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan nilai tetap yang perlu dibayar pesalah.

Beliau berkata, sebaliknya ia adalah nilai maksimum yang jumlah bayarannya boleh dirayu.

Katanya, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab yang menentukan jumlah kompaun itu atas budi bicara.

“Kita faham ramai yang keliru dengan jumlah RM10,000 dan fikir ia akan dikenakan bagi setiap kesalahan. Itu adalah jumlah maksimum, dan boleh dikurangkan berdasarkan kesalahan.

“Senarai kategori kesalahan dan hukuman dikenakan akan diperincikan oleh KKM dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 petang ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Selasa.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, kompaun bagi kesalahan terbabit dalam aktiviti di pusat hiburan adalah maksimum kerana kedegilan mereka melanggar SOP ditetapkan.

"Seperti sering diberitahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, beliau mencadangkan kepada KKM kompaun tertinggi dikenakan iaitu RM10,000 bagi pengunjung dan RM50,000 bagi penganjur serta pemilik pusat hiburan,” katanya.

Artikel Berkaitan: