Khairy jawab persoalan Anwar berhubung PICK

Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin
Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab beberapa persoalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan program vaksinasi ketika ini.

Beliau berkata, antara persoalan tersebut termasuk isu pendaftaran vaksinasi yang tidak lengkap daripada 1.4 juta pengguna menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut Khairy, beliau telah pun memaklumkan perkara tersebut pada sidang akhbar pada Isnin yang mana sistem pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pengguna untuk melengkapkan penilaian vaksinasi bagi membolehkan maklumat janji temu diberikan kepada mereka.

“Berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, seperti mana yang saya nyatakan, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika membuat pendaftaran vaksinasi kali pertama.

“Justeru, pengguna tidak perlu membuat pendaftaran berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, program kesedaran bagi melawan kumpulan antivaksin juga telah dilakukan pelbagai pihak termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Siri-siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial.

“Program bantuan ‘outreach’ juga sedang berjalan ketika ini di seluruh negara bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan vaksin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar gesa kerajaan tingkat kecekapan, pengurusan pemberian vaksin

Mengenai proses perolehan dan maklumat berkaitan vaksin pula beliau berkata, kerajaan masih terikat dengan perjanjian kerahsiaan (non-disclosure agreement) yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin.

Selain itu, Khairy berkata, andaian Anwar berhubung kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V adalah tidak benar.

“Vaksin ini sememangnya terdapat di dalam potfolio pembelian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini kita sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.

“MOSTI juga telah membiayai kajian dan penyelidikan (R&D) vaksin tempatan bagi penyakit Covid-19 menerusi MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan.

“Nilai tambah ini akan dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman web www.vaksincovid.gov.my,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai PICK itu akan dibentangkan pada sesi taklimat kepada ahli Parlimen yang akan diadakan nanti.