Pengurusan universiti ada kuasa kawal pergerakan pelajar

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan universiti di negara ini mempunyai kuasa untuk mengawal pergerakan keluar masuk pelajarnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana universiti merupakan kawasan persendirian dan mempunyai undang-undang sendiri.

“Seperti mana ada pengurusan kondominium, mereka ada peraturan sendiri. Saya difahamkan ada beberapa kondominium di Kuala Lumpur yang tidak membenarkan pelawat masuk.

“Ini adalah bawah bidang kuasa pengurusan kondominium tersebut untuk melindungi kepentingan penghuni di situ.

“Begitu juga universiti, mereka mahu menjaga kepentingan pelajar dan boleh mengadakan peraturan yang ketat untuk menjaga keselamatan mahasiswa dan mahasiswi mereka,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini pada Selasa.

Beliau mengulas berhubung isu terdapat pelajar yang tidak dibenarkan keluar daripada kampus sejak mendaftar masuk ke universiti yang telah menimbulkan persoalan adakah pihak universiti mempunyai kuasa untuk mengawal pergerakan keluar masuk pelajar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, seramai 134 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi pemeriksaan dilakukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin.

“Daripada jumlah itu, 127 telah dikompaun manakala tujuh direman. Antara kesalahan ingkar SOP adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan; tidak memakai pelitup muka; rentas negeri/daerah tanpa kebenaran; tiada penjarakan fizikal dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga Isnin, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan seramai 5.633 juta orang sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).