Pemandu wanita disyaki mabuk langgar dua motosikal ditahan

Gambar pemandu wanita dan kenderaan yang melanggar dua motosikal tular di laman sosial.
Gambar pemandu wanita dan kenderaan yang melanggar dua motosikal tular di laman sosial.
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang wanita yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar dua motosikal di Taman Bukit Mulia Bukit Antarabangsa di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 52 tahun itu ditahan di Balai Polis Pandan Indah pada Selasa.

"Kita menahan wanita itu pada tengah hari tadi (Selasa) dan wanita tersebut telah dibawa ke hospital untuk ujian kandungan alkohol dalam darah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 12.41 tengah malam itu, wanita yang memandu kereta Toyota Vios telah menghimpit dan melanggar dua motosikal Yamaha Avantis dan Harley Davidson.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua penunggang terbabit meminta pemandu wanita itu membuat laporan polis namun dia terus memecut melarikan diri.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya," katanya.

Satu video berdurasi seminit yang tular di laman sosial itu memaparkan wanita berkenaan dalam keadaan tidak sedar dan mengaku memandu dalam keadaan mabuk.

Artikel Berkaitan: