Ordinan Darurat tidak ditujukan kepada ahli politik

Saifuddin menunjukkan Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara dan Kad Laporan Setahun KKMM selepas pelancaran buku tersebut di KKMM, Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama
Saifuddin menunjukkan Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara dan Kad Laporan Setahun KKMM selepas pelancaran buku tersebut di KKMM, Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 tidak ditujukan kepada ahli politik yang mengkritik perkara berkaitan vaksin Covid-19 dan proklamasi darurat.

Sebaliknya, tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah, ordinan tersebut untuk menangani berita tidak benar sekali gus melindungi rakyat daripada berita palsu yang membelenggu.

"Saya nak ulang, ia tidak sama sekali ditujukan kepada orang politik kalau mereka kritik melibatkan perkara berkaitan vaksin dan darurat," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Lambang- Lambang Kebesaran Negara dan kad laporan setahun KKMM pada Selasa.

Menurutnya, kritikan dan berita palsu adalah perkara berbeza.

"Dalam ehwal demokrasi, (melontar) kritikan dibolehkan. Soal nak mengkritik saya atau KKMM, ini hal ehwal demokrasi," katanya.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 dikuatkuasakan pada Jumaat lalu bagi mengekang penularan berita tidak benar.

Mengikut ordinan tersebut, berita tidak benar termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio, dan dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Sementara itu, mengulas mengenai tumpuan KKMM pada tahun ini, beliau berkata, kementerian telah merangka lima fokus utama antaranya pemerkasaan teknologi keselamatan siber (SiberKasa).

Artikel Berkaitan:

"CyberSecurity Malaysia (CSM) akan melaksanakan SiberKasa untuk membangun, memperkasa dan mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara," katanya.

Menurutnya, ia meliputi tiga komponen utama iaitu manusia, proses dan teknologi.

"Sebagai agensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, CSM akan meluaskan penglibatannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

"Di samping itu, KKMM menerusi Bahagian Kawalan Pematuhan sedang menyiapkan dasar dan draf Akta Anti-Buli Siber," katanya.

Ditanya mengenai buku Lambang-Lambang Kebesaran Negara, Saifuddin berkata, ia sebagai panduan kepada segenap lapisan masyarakat.

"Buku ini dicetak 100,000 naskhah untuk memberi panduan kepada semua agar tiada lagi berlaku kesilapan berhubung lambang-lambang kebesaran negara," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh memuat turun buku tersebut menerusi laman web Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

"Kita cetak dalam bilangan terhad sahaja untuk diedarkan kepada kementerian dan agensi, orang ramai boleh merujuk buku berkenaan di laman web JaPen," katanya.