Premis perniagaan 24 jam dibenarkan beroperasi

Kerajaan Melaka membenarkan premis perniagaan termasuk kedai serbaneka yang beropersi 24 jam beroperasi seperti biasa. - Gambar hiasan 123RF
Kerajaan Melaka membenarkan premis perniagaan termasuk kedai serbaneka yang beropersi 24 jam beroperasi seperti biasa. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri membenarkan premis perniagaan termasuk kedai serbaneka yang beropersi 24 jam beroperasi seperti biasa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, langkah tersebut bertujuan memulihkan semula ekonomi perniagaan di negeri itu, dalam masa sama mengingatkan semua pihak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

"Kita dah putuskan dalam mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) minggu lalu, di mana premis yang memang mempunyai lesen perniagaan beroperasi 24 jam, tiada masalah untuk beroperasi mengikut waktu perniagaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ghaafar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, bagaimanapun premis hiburan seperti pub masih tidak dibenarkan beroperasi 24 jam.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, kebenaran itu tidak bermakna kelonggaran SOP diberikan boleh diambil ringan dan berharap premis perniagaan di bawah PBT itu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi yang beroperasi 24 jam seperti kedai mamak dan perkhidmatan pandu laju kita benarkan beroperasi, mengikut seperti mana waktu operasi mereka dalam lesen perniagaan.

"Namun premis yang beroperasi tidak melebihi jam 12 malam tapi nak juga beroperasi bagi menambahkan pendapatan, memandangkan terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, mereka perlu buat permohonan.

"Jadi bila polis membuat pemantauan mereka boleh menunjukkan bukti kelulusan itu dan kita nasihatkan agar pemilik perniagaan dan orang ramai terus mematuhi SOP agar tidak dikenakan kompaun sehingga RM10,000," katanya.

Artikel Berkaitan: