Penggunaan robotik di pasar awam diperluas

Khairy pada sidang media selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya, di Ipoh pada Selasa.
Khairy pada sidang media selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya, di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah meluluskan geran berjumlah RM500,000 kepada dua syarikat tempatan sebagai komitmen memperluas penggunaan teknologi robotik di pasar awam di seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembiayaan geran di bawah Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) itu diberikan kepada Ideasparq Robotics Sdn Bhd dan Akar Indah Engineering Sdn Bhd yang turut terlibat dalam projek perintis aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh.

Menurutnya, dalam projek rintis di Pasar Ayam Amanjaya itu, empat teknologi dibangunkan iaitu robot untuk membersihkan lantai dan mengangkut barang ciptaan Ideasparq Robotics Sdn Bhd.

"Kita juga bangunkan robot yang mempunyai sistem pengurusan sisa secara pintar ciptaan Akar Indah Engineering Sdn Bhd dan juga perisian AI yang boleh mengesan pencerobohan dan keselamatan pasar yang dibangunkan oleh ITXOTIC Sdn Bhd.

"Jadi semua syarikat ini telah layak masuk ke dalam NTIS, dua daripadanya sudah pun layak menerima geran berjumlah RM500,000 setiap satu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Khairy Jamaluddin berkata, Pasar Awam Seremban di Negeri Sembilan bakal menjadi pasar awam kedua di negara ini yang menerima aplikasi robotik terbabit yang dijangka bermula bulan depan.

Katanya, penggunaan teknologi sentuhan rendah itu sangat bertepatan dengan keperluan perubahan cara hidup normal baharu ekoran penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan teknologi sama di pasar lain antaranya Seremban yang akan jadi salah satu pusat ujian robot ini.

"Robot ini boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing, boleh meningkatkan kebersihan dan kecekapan di pasar.

"Ini juga selaras dengan pendekatan kementerian untuk mewujudkan ekonomi sentuhan rendah, tidak perlu sentuh kerana terdapat Covid-19 dan virus-virus yang lain,” katanya.