KPLB hasrat perluas Prospek ke Sarawak

Henry (kanan) meninjau proses pembuatan bahulu yang diusahakan, Rosnani Zulkifli, 40, di Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim pada Selasa.
Henry (kanan) meninjau proses pembuatan bahulu yang diusahakan, Rosnani Zulkifli, 40, di Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim pada Selasa.
A
A
A

KULIM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat memperluaskan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) yang dilaksanakan di Kedah dan Terengganu ke negeri Sarawak, tahun ini.

Timbalan Menteri II Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, Prospek yang bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan bakal dibangunkan di Sarawak pada Mei nanti.

Menurutnya, KPLB masih dalam perbincangan menentukan kawasan yang akan dipilih namun akan memfokuskan kawasan luar bandar di Sarawak agar manfaat Prospek yang mampu meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus dapat dinikmati penduduk.

"Tentulah kita ingin membawa projek ini ke kawasan luar bandar bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk dengan menjadikan Prospek Sidam di Kedah yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai model perintis agar boleh diperluaskan ke negeri lain," katanya kepada pemberita ketika melakukan pemantauan ke Prospek di Sidam Kanan, Padang Serai, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib.

Sementara itu, Ku Abd Rahman berkata, Prospek telah memfokuskan kepada pembangunan di beberapa perkampungan sedia ada yang berdekatan tanpa melibatkan pembukaan kawasan baharu.

"Prospek dibangunkan melalui tiga komponen iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana asas," katanya.

Ku Abd Rahman berkata, KPLB melalui KEDA memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan projek berkenaan dengan anggaran peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM3.065 juta sejak 2018.

Artikel Berkaitan:

"Pendapatan peserta dari 12 buah kampung telah meningkat 30 peratus malah ada peningkatan melonjak sehingga 100 peratus, itu yang menunjukkan ia memberi impak positif kepada komuniti kampung," katanya.

Lawatan ke beberapa lokasi Prospek turut diadakan termasuk ternakan ikan air tawar, tanaman jagung, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Pusat Kegiatan Ekonomi, pembuatan bahulu, penyediaan makanan haiwan dan ternakan burung puyuh.