Main peranan sebar kebaikan program Imunisasi Covid-19

Muhyiddin ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.
Muhyiddin ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru kesemua ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk bersama menyokong kerajaan dalam menyebarkan maklumat berhubung Program Imunisasi koronavirus (Covid-19) Kebangsaan yang kini sedang berjalan.

Beliau berkata, selaku jurucakap kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pihaknya berharap ahli-ahli MPPK ini dapat memainkan peranan untuk menghebahkan manfaat program vaksinasi itu bukan sahaja kepada para pelajar IPT tetapi juga masyarakat di luar sana.

"Pada masa kini, negara kita dalam proses fasa pertama pemberian vaksin yang dikhususkan kepada petugas barisan hadapan dan bermula April depan, fasa kedua pemberian vaksin kepada kakitangan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting yang lain serta warga emas berumur 65 tahun ke atas akan dilaksanakan.

"Ini seterusnya akan disusuli dengan fasa ketiga pada Mei 2021 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 13.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin dan sebahagian golongan ini terdiri daripada saudara-saudari (pelajar IPT)," katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.

Justeru, beliau berharap bahawa semua pelajar yang memenuhi kriteria itu telah pun mendaftarkan diri untuk divaksin.

"Sesungguhnya, program vaksinasi ini merupakan antara usaha kerajaan untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk.

"Oleh itu, saya mengharapkan saudara dan saudari selaku jurucakap kepada pelajar IPT dapat sama-sama menguar-uarkan manfaat program vaksinasi ini kepada mereka di luar sana jua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut memberi kesan kepada konteks pendidikan di mana kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional terpaksa diubah suai kepada PdP secara dalam talian bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan pelajar serta tenaga pengajar di samping mengelakkan berlakunya keciciran pelajar dalam menimba ilmu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kredit harus diberikan kepada para pelajar yang berusaha untuk mencari alternatif untuk mengatasi masalah capaian internet dan peranti bagi mengikuti PdP normal baharu ini.

Katanya, usaha tenaga pengajar IPT juga yang sentiasa bertungkus-lumus menyediakan bahan PdP yang bersesuaian wajar dipuji.

"Atas dasar cakna kepada keperluan untuk mengikuti PdP secara dalam talian dengan berkesan, KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan IPT untuk membantu para pelajar terutamanya pelajar daripada keluarga B40 termasuklah dengan memberikan Bantuan RM50 secara one-off kepada 76,153 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta; Bantuan Pelan Data B40 dengan peruntukan sebanyak RM24 juta yang memanfaatkan 320,396 pelajar dan Bantuan Peranti B40 bersasar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada 8,965 pelajar.

"Inisiatif-inisiatif ini merupakan manifestasi bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan segala hasrat yang diutarakan oleh pelajar sekalian terutama sekali yang berkaitan dengan usaha memperkasakan mahasiswa," katanya.