'Tolong cari wali saya'

Nik Zulkifly
Nik Zulkifly
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan ini berharap orang ramai dapat membantu mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya.

Nur Shahirah Nik Zulkifly, 28, berkata, dia sekeluarga sudah buntu untuk mencari Nik Zulkifly Nik Hussain, 57, selepas gagal menemui bapanya menerusi alamat terakhir di Rantau Panjang, Kelantan.

Menurutnya, dia tidak mengenali bapanya selepas ibunya, Hamidah Ismail, 51, ditinggalkan sejak 26 tahun lalu.

“Mengikut cerita ibu, ayah meninggalkan kami ketika saya berusia dua tahun dan selepas itu mereka berpisah.

“Sejak dari itu, ayah tidak pernah muncul malah langsung tidak menghubungi atau mengirim berita dan sehingga kini saya tidak tahu dia berada serta menetap di mana," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada bulan ini (Mac), namun terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan wali.

Menurutnya, susulan itu urusan perkahwinan menjadi rumit dan perlu segera mencari bapanya bagi memudahkan urusan pernikahannya.

“Jadi, pihak Jabatan Agama Islam Pahang mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau isu pencarian wali saya ini masih belum selesai, kes ini akan disebut di Mahkamah Syariah Pekan bagi membolehkan wali hakim digunakan untuk majlis perkahwinan saya nanti," katanya.

Sehubungan itu, Nur Shahirah berharap bapanya tampil dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat menghubunginya di talian 017-3003062 dengan kadar segera.

“Saya berharap keluarga terdekat bapa, ibu tiri dan sesiapa yang mengenali sekiranya terbaca berita ini boleh menghubungi saya seperti di talian tersebut," katanya.