Ekonomi negara APAC terus dahului pertumbuhan global

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Asia Pasifik (APAC) terus mendahului pertumbuhan global ketika langkah pemberian vaksin dilaksanakan di seluruh rantau itu serta dunia, menurut Moody’s Analytics.

Ia berkata, rantau itu akan disokong dengan peningkatan imuniti dan pengurangan jarak sosial pada separuh kedua tahun ini walaupun berlaku masalah logistik yang menghalang langkah vaksinasi di kebanyakan bahagian di dunia.

Ketua ekonomi APAC, Steven Cochrane berkata, kebangkitan Amerika Utara dan Eropah daripada sekatan akibat Covid-19 akan mendorong perbelanjaan pengguna dan perniagaan seluruh dunia sementara rangsangan fiskal tambahan di Amerika Syarikat akan turut mempercepatkan trend berkenaan.

“Bagaimanapun, adanya risiko jangka pendek terhadap unjuran yang positif ini sekiranya rentak pemberian vaksinasi tidak dipercepatkan, dan jika langkah sekatan pergerakan dilonggarkan terlalu awal sebelum tercapainya imuniti yang meluas,” katanya dalam satu nota pada Selasa.

Bermula pada tahun 2022, Cochrane berkata, terdapatnya risiko ke atas pengembangan ekonomi yang ketara dan berterusan terutamanya ketika penggubal dasar fiskal seluruh rantau ini bergelut dengan keperluan untuk mengendalikan defisit belanjawan.

"Namun, masih lagi ada potensi baik terhadap tinjauan di rantau ini tatkala ia berusaha menangani rintangan logistik vaksin untuk mempercepat penyebarannya melangkaui jangkaan. Pakej sokongan fiskal AS yang besar juga berpotensi memberikan kesan pengganda ke seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Cochrane turut menjelaskan bahawa rantaian bekalan pembuatan rantau APAC kebanyakannya telah meningkat ke paras yang lebih tinggi dan ini dibuktikan dengan peningkatan pengeluaran industri di sekitar rantau dan pertumbuhan eksport yang lebih kukuh.

Katanya, keuntungan dalam perdagangan juga sejajar dengan peningkatan pengeluaran industri berikutan permintaan terhadap barangan elektronik, auto dan tekstil semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pengeluar komoditi seperti Indonesia dan Malaysia, peningkatan harga minyak mentah, minyak sawit dan komoditi yang lain menyumbang kepada peningkatan nilai eksport.

“Malah, dasar fiskal juga akan diteruskan bagi menyokong pemulihan ekonomi sementara pemberian vaksin diteruskan," katanya.

Cochrane berkata, Malaysia, Singapura, Jepun, Australia dan Hong Kong, kesemuanya telah meneruskan pemberian rangsangan sederhana menerusi perbelanjaan defisit bersasar tahun ini berbanding rangsangan fiskal yang agresif pada tahun lepas.

“Langkah ini akan mengehadkan risiko ekonomi yang mungkin disebabkan oleh keadaan yang tidak diduga ketika vaksinasi.

“Ini amat penting buat Malaysia dan Singapura, yang secara relatifnya mempunyai ekonomi yang kecil dan terbuka, yang perjalanan menuju pemulihan ekonomi sepenuhnya masih jauh,” katanya. - Bernama