Kerajaan digesa mansuhkan kompaun RM10,000

STEVEN SIM CHEE KEONG
STEVEN SIM CHEE KEONG
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memansuhkan kompaun RM10,000 yang didakwa sebagai dasar yang bersifat zalim sebaliknya menurunkan semula kadar denda kepada RM1,000.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, penguatkuasaan undang-undang Covid-19 harus lebih bersifat mendidik daripada menghukum.

“Justeru, kerajaan patut menurunkan semula kadar denda kepada RM1,000, memperkenalkan denda secara berperingkat, di mana pesalah kali pertama diberikan amaran keras, denda RM500 untuk kali kedua dan denda RM1,000 untuk kali ketiga.

“Kerajaan juga harus menyenaraikan kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan denda dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan orang awam secara amnya.

“Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa membeza-bezakan darjat di mana Menteri dan VIP perlu dikenakan hukuman yang sama dengan rakyat biasa jika melakukan kesalahan yang sama,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau dalam kenyataan sama sebelum itu, mempersoalkan tindakan kerajaan menguatkuasakan kompaun RM10,000 sebelum perincian dibuat.

Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan memperincikan tentang kompaun RM10,000 terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas mendapat kecaman orang awam, jelas mengecewakan.

“Bagaimana boleh terjadi keadaan di mana kompaun RM10,000 sudah pun dikenakan ke atas rakyat minggu lepas, minggu ini baru kerajaan nak buat perincian.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga dengan kenyataan Menteri bahawa kompaun boleh dirayu di pejabat kesihatan daerah (PKD) tetapi pihak PKD menyatakan bahawa masih tiada garis panduan rayuan.

“Bagaimana kerajaan persekutuan boleh membuat satu undang-undang yang begitu berat tanpa sebarang perancangan sama sekali?,” soalnya.