X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Selangor dukacita individu jejas akidah Islam

Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meluahkan rasa dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu beragama Islam khususnya di negeri ini yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata hingga menjejaskan akidah dan ajaran Islam.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda menegaskan apa-apa 'iktikad' (pernyataan dalam hati), percakapan atau perbuatan oleh mana-mana umat Islam yang berhasrat keluar daripada agama itu dikhuatiri membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

"Baginda bertitah, asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui Keesaan ALLAH dengan mengucap kalimah syahadah.

"Selain itu, seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya ALLAH yang berhak disembah dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh ALLAH," titah baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya mestilah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupannya.

"Sehubungan itu tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar daripada agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan ALLAH," titah baginda.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat daripada ALLAH kepada umat Islam.

"Maka hendaklah kita menjaganya (nikmat Islam dan iman) dengan baik serta penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan," titah baginda.

Beliau memberitahu, Sultan Sharafuddin turut menegaskan kesalahan perbuatan murtad yang digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syarak.

"Bagi seseorang yang murtad atau keluar daripada agama Islam dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat, namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Syafi'e," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak mudah terpesong daripada akidah Islam sebenar.

Baginda turut bertitah tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasakan undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

Malah baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

"Kita sebagai umat Islam dan rakyat di negeri ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang telah digariskan di bawah undang-undang," titah baginda.

Selain itu, katanya, baginda turut menegaskan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

"Baginda juga menitahkan agar MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!