Bazar Ramadan mungkin dibenarkan, kata Zuraida

Zuraida (dua dari kanan) bersama Khairy Jamaluddin (kiri) ketika meninjau operasi Pasar Ayam Amanjaya di Ipoh pada Selasa.
Zuraida (dua dari kanan) bersama Khairy Jamaluddin (kiri) ketika meninjau operasi Pasar Ayam Amanjaya di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Bazar Ramadan boleh dilaksanakan tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan kemas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan memperincikan perkara itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat akan datang.

"Kita akan teliti SOP lagi sekali untuk lebih kemas dan efisien. Saya kira tidak akan jadi masalah kerana dalam keadaan sekarang aktiviti ekonomi sudah dibenarkan.

"Aktiviti pasar dan pasar malam juga sudah boleh buka, jadi insya-ALLAH (bazar Ramadan) boleh dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Zuraida (depan, empat dari kanan) ketika melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di Ipoh pada Selasa.
Zuraida (depan, empat dari kanan) ketika melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di Ipoh pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Melaka dan Negeri Sembilan antara negeri yang menyatakan kesediaan untuk pembukaan bazar Ramadan tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Negeri Sembilan benarkan bazar Ramadan

Artikel Berkaitan:

Melaka tiada halangan benarkan penganjuran bazar Ramadan

Umat Islam akan menyambut Ramadan bermula 13 April ini.

Tahun lalu, bazar Ramadan tradisional tidak dibenarkan susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, projek perintis aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) di Pasar Ayam Amanjaya akan diperluas ke pasar-pasar lain yang telah dikenal pasti kementerian antaranya di Seremban dan Taiping.

Katanya, teknologi perkongsian pintar antara kementerian bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu telah berjaya diuji dan terbukti lebih sistematik.

"Program ini bertepatan dengan garis panduan yang dibentangkan kementerian di Kabinet untuk dilaksanakan di semua pasar di seluruh negara agar pembentukan atau pembinaan (pasar) lebih menepati standard yang ditetapkan.

“Cumanya saya harap peniaga dan orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu dan teknologi yang ada ini,” katanya.

Tiga aplikasi robot yang ditempatkan di sini sejak November tahun lalu telah dimashyurkan dengan nama bercirikan jati diri Perak iaitu Badang Manjoi, Badang Tambun dan Badang Gopeng.

Antara fungsinya membersihkan lantai pasar, mengangkut ayam dari lori ke gerai penjaja serta menguruskan sisa secara pintar.