Lapan anggota JPJ lindungi syarikat pengangkutan direman

Pegawai SPRM membawa anggota JPJ Kedah yang terbabit kes rasuah ke kompleks Mahkamah Alor Setar pada Selasa bagi mendapatkan perintah reman.
Pegawai SPRM membawa anggota JPJ Kedah yang terbabit kes rasuah ke kompleks Mahkamah Alor Setar pada Selasa bagi mendapatkan perintah reman.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan syarikat pengangkutan.

Turut ditahan seorang pesara dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar Alor Setar dan Kulim bermula 8.25 pagi hingga 7.45 malam Isnin.

Sumber berkata, penahanan itu membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita yang berkhidmat dengan agensi penguat kuasa tersebut selain dua orang awam.

Katanya, mereka yang berusia antara 29 hingga 63 tahun itu disyaki menerima dan memberi suapan membabitkan pengusaha serta pekerja syarikat pengangkutan.

“Lapan anggota JPJ Kedah termasuk seorang wanita disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan itu bagi mengelak tindakan diambil ke atas lori milik syarikat terbabit.

"Antara kesalahan dilakukan lori milik syarikat itu adalah membawa barangan lebih muatan selain kenderaan berat itu didapati tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, pesara berkenaan pula dipercayai terlibat sebagai orang tengah antara syarikat pengangkutan terbabit ketika berurusan dengan anggota penguat kuasa berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (A) (a) dan 16 (A) (b) Akta SPRM 2009 dan kesemua mereka direman selama lima hari.

Artikel Berkaitan:

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Wan Nor Fadzillah Wan Ibrahim setelah mendapat permohonan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kesemua suspek dan menegaskan pihaknya masih memburu beberapa suspek dan saksi kes berkenaan.