X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Aktiviti ternakan udang didakwa punca pencemaran sungai, laut

Sisa buangan dipercayai dari kolam udang telah menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan tersebut.
A
A

BALIK PULAU - Kira-kira 300 nelayan di Kuala Sungai Pinang, di sini bimbang sumber pendapatan mereka merosot akibat pencemaran sungai dan laut yang berlaku di kawasan itu ketika ini.

Difahamkan, masalah yang berlaku sejak lebih 20 tahun lalu itu berpunca daripada aktiviti ternakan udang yang didakwa telah memusnahkan beratus hektar hutan bakau di kawasan tersebut dan membuang sisa kolam ke dalam saliran, sungai serta laut berhampiran.

Disebabkan itu tempat hidupan laut membiak telah terancam manakala ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan tersebut semakin pupus.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohaideen Abdul Kader berkata, sekiranya masalah itu tidak berlaku, kumpulan nelayan berkenaan boleh memperoleh pendapatan mencecah RM200 sehari tetapi sekarang tinggal RM30 hingga RM70 sahaja sehari.

Menurutnya, selain mencemarkan sungai dan laut, sisa buangan dari kolam udang ini juga telah menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan tersebut.

Saliran menjadi cetek akibat sisa buangan ternakan kolam udang di Kuala Sungai Pinang.
Saliran menjadi cetek akibat sisa buangan ternakan kolam udang di Kuala Sungai Pinang.

"Banyak aduan dibuat oleh nelayan yang terlibat kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

"CAP kesal dengan sikap pihak berwajib kerana tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman pencemaran yang berlaku dan membiarkan sumber perikanan serta nelayan di sini terus menjadi mangsa," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihaknya menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Katanya, CAP bimbang jika masalah itu tidak ditangani dengan berkesan, alam sekitar di kawasan tersebut akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang dan nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut akan putus mata pencarian.

"CAP membantah keras jika terdapat rancangan baharu oleh mana-mana pihak untuk meneroka hutan paya bakau di kawasan ini bagi melaksanakan projek ternakan udang kerana ia boleh mencetuskan ancaman lebih buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!