Mahkamah dengar rayuan Najib 11, 12 Mac

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 11 dan 12 Mac ini untuk mendengar empat rayuan daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan interlokutori dalam tujuh pertuduhan jenayah ke atas Najib berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Budiman Lutfi Mohamed berkata Pendaftar Mahkamah Rayuan Datuk Norsharidah Awang menetapkan tarikh berkenaan selepas berjumpa beliau, TPR Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib di dalam kamar.

Budiman berkata peguam Najib memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan 10 hari dari tarikh mereka (pembelaan) menerima rekod rayuan penarikan balik sijil untuk pemindahan kes, bagi mereka memfailkan rayuan.

“Justeru, mahkamah menetapkan 11 dan 12 Mac ini untuk mendengar rayuan itu bersama tiga lagi rayuan daripada perayu. Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan penghujahan bertulis sebelum 4 atau 5 Mac,” kata beliau kepada pemberita selepas kes berkenaan disebut di dalam kamar.

Budiman juga berkata Peguam Negara Tommy Thomas telah menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada Rabu supaya pendengaran rayuan itu dapat dipercepatkan.

Pada tarikh berkenaan, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung perintah larangan ke atas media untuk membincangkan merit kes jenayah beliau; penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International.

Ketiga-tiga permohonan Najib sebelum ini ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan Najib ke atas penarikan balik sijil pemindahan.

Artikel Berkaitan:

Najib memfaikan rayuan untuk membatalkan keputusan Mohd Nazlan yang dibuat pada 7 Feb lepas, yang membenarkan pasukan pendakwaan diketuai oleh Thomas untuk menarik balik sijil untuk memindahkan kes Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Thomas memberitahu Mohd Nazlan berkata pihak pendakwaan mengambil tindakan itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M. Indira Ghandi (2018), yang menimbulkan keraguan berhubung kuasa oleh Pendakwa Raya untuk memindahkan sesuatu kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata pihak pendakwaan menarik balik sijil itu bagi mengelakkan kemungkinan timbul sebarang pertikaian bahawa pemindahan itu adalah tidak sah.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada hari yang sama untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Pendakwa Raya menarik balik sijil pemindahan.

Pada 7 Feb lepas, Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar tiga rayuan daripada Najib, tetapi pendengaran itu ditangguhkan selepas peguam Najib memohon supaya rayuan terhadap penarikan balik sijil untuk pemindahan kes didengar dahulu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya menetapkan 11 dan 12 Mac in untuk mendengar ketiga-tiga rayuan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Perbicaraan kes SRC Najib dijadualkan bermula pada 12 Feb lepas tetapi ditangguhkan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaannya oleh pendakwa raya. - Bernama