Burung pemangsa tidak bawa selesema burung ke Malaysia

Helang Lebah antara spesies burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac. - Foto internet
Helang Lebah antara spesies burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac. - Foto internet
A
A
A

ALOR GAJAH - Tiada ancaman selesema burung (H5N8) dikesan di Malaysia ketika penghijrahan burung pemangsa dari hemisfera selatan yang berlangsung sejak awal Mac ini, kata Presiden Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail.

Beliau berkata, walaupun terdapat kes selesema burung dikesan di Algeria Februari lalu yang disebabkan oleh penghijrahan burung-burung berkenaan, namun setakat ini Malaysia masih terselamat daripada ancaman itu.

"Di Malaysia, burung-burung penghijrah yang sering datang ke Selat Melaka pada Mac adalah berbeza daripada burung-burung yang berhijrah ke bahagian Afrika kerana terdapat kelompok burung yang berbeza.

"Bagaimanapun, burung-burung yang berhijrah ke sini berdepan ancaman habitat terutama di kawasan paya bakau yang terjejas dengan tumpahan minyak Oktober lepas yang masih belum dapat dibersihkan sepenuhnya," katanya ketika ditemui di Tanjung Tuan di sini pada Selasa.

Februari lalu, Algeria mengisytiharkan darurat selepas Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) mengumumkan penularan selesema burung yang melanda kawasan timur negara berkenaan.

Menteri Pertanian Algeria Abdelhamid Hamdani dipetik sebagai berkata, sumber virus berkenaan dikesan daripada burung yang berhijrah dengan wabak berkenaan dikesan di bandar kota Ain Fakrounm.

Pensyarah Ekotoksikologi dan Ekologi Hidupan Liar, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, bagaimanapun pemantauan terhadap kemungkinan selesema burung perlu diteruskan dari masa ke masa bagi mengelak ia berlaku pada masa depan.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat kira-kira 15,000 burung pemangsa itu dikesan sejak 10 hari lepas dengan kumpulan burung berkenaan mendiami kawasan paya bakau di sepanjang Selat Melaka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai hutan pesisir pantai di Tanjung Tuan yang menjadi penampan hakisan pantai di Melaka serta habitat pelbagai jenis hidupan termasuk burung pemangsa yang semakin 'nazak' akibat tumpahan yang sukar dibersihkan, Ahmad berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

"Kawasan hutan bakau di pesisir pantai ini amat penting kerana burung pemangsa memerlukannya kerana ia menyediakan makanan seperti tikus, cicak dan anak-anak burung.

"Tumpahan minyak yang berlaku boleh menyebabkan pokok bakau mati sekali gus menyebabkan gangguan terhadap habitat burung-burung penghijrah ini yang amat bergantung kepada alam sekitar untuk terus hidup," katanya.

Burung pemangsa ialah burung jenis maging yang mempunyai ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di Hemisfera Utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac adalah Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard). - Bernama