X

Kindly register in order to view this article
!

JTK arah majikan pindah pekerja ke asrama selesa

Keadaan asrama pekerja warga asing yang menjadikan rumah kedai sebagai tempat penginapan dan agak kotor.
A
A

ALOR GAJAH - Keadaan asrama pekerja warga asing yang busuk dan kotor di sebuah kilang pemprosesan makanan di Taman Perindustrian Masjid Tanah menyebabkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan arahan kepada majikan untuk memindahkan seramai 252 pekerja ke tempat penginapan lebih selesa.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ar Ismail Othman berkata, pemeriksaan mendapati majikan mengambil jalan mudah dengan menjadikan 16 unit rumah kedai sebagai penempatan seramai 323 pekerja asing.

Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan mereka gagal mematuhi Undang-undang Bangunan Seragam 1984 berikutan premis terbabit tidak mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik malah terdapat penggunaan bahan mudah terbakar di bahagian dapur.

"Kita lihat ada beberapa kemudahan tidak dipatuhi termasuk sistem pengudaraan yang tersumbat sebab itu rasa agak 'stuffy' dan berbau selain tandas yang kotor serta ruang masak yang tidak sistematik.

"Jadi saya meminta Pengarah JTK negeri mengarahkan majikan memindahkan semua pekerja berkenaan ke penempatan yang lebih selesa di Asrama Pekerja MyEg bermula hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Operasi Bersepadu JTK bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pada Selasa,

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Linggi berkata, kegagalan majikan memindahkan pekerja ke asrama pekerja MyEg akan berdepan tindakan saman mengikut Akta Standard Minimum Oerumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Sewajarnya pekerja-pekerja ini dipindahkan kerana di asrama baharu keadaan lebih selesa.

"Setiap unit boleh menempatkan enam pekerja selain terdapat kemudahan ruang tamu, tandas dan dapur yang lebih selesa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!