'Wujud gerakan jarum saraf cuba cetus ketegangan Pas, UMNO'

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mendedahkan terdapat gerakan ‘jarum saraf’ yang licik mengadu-domba dan menimbulkan curiga-mencurigai antara Pas dan UMNO bagi mencetuskan ketegangan hubungan kedua-dua parti itu.

Menurutnya, sejak Piagam Muafakat Nasional (MN) 2019 termeterai antara kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara, keakraban ukhuwah luar biasa terjalin antara ahli Pas dan UMNO yang merupakan musuh politik sejak enam dekad sebelumnya.

“Permuafakatan dan kerjasama dari peringkat tertinggi menjalar hingga ke akar umbi ini mendapat sambutan baik rakyat khususnya dalam kalangan Melayu lantas tidak hairanlah pihak musuh cukup kacau dan bimbang melihatnya.

“Justeru, saban hari permuafakatan ini cuba diganggu dan digagalkan oleh mereka yang tidak senang melihat umat Melayu Islam bersatu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, terbaharu sedang digerakkan ‘jarum saraf’ yang mengatakan UMNO kononnya mahu meninggalkan MN dan bakal bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Presidennya, Datuk Sri Anwar Ibrahim dalam langkah politik jajaran baharu.

“Kerja-kerja ini semata-mata bermatlamat mencetuskan ketegangan antara hubungan baik yang sedia terjalin antara Pas dan UMNO. Saya pasti kerja-kerja jahat ini mengganggu UMNO.

“Insya-ALLAH kita sama-sama hadapi apa sahaja cubaan untuk merobohkan kesatuan besar umat Melayu Islam ini.

“Tak Melayu hilang di dunia kata Laksamana Hang Tuah, bersama kita pertahankan MN ini hingga kekal mulia maruah agama, bangsa dan negara di bumi tercinta ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu Roslan berkata, beliau simpati dengan keprihatinan sahabatnya dalam MN yang bersungguh mahu memelihara hubungan dengan Pas.

Katanya, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menerusi satu hantaran di Facebooknya menyebut konsisten dengan pendirian ‘No DAP dan No PKR’

“Terbaharu sahabat saya Datuk Armand Azha, Ketua UMNO Bahagian Subang menyebut tidak perlu terangkan kepada beliau mengenai jajaran baharu dan beliau berpegang pada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya simpati dengan ‘concern’ sahabat saya itu yang sudah pasti bersungguh mahu memelihara hubungan dengan Pas,” katanya.