Sindiket gores dan menang sasar warga emas

Ariffin (kanan) menunjukkan antara barang elektrik yang dirampas susulan tumpasnya sindiket gores dan menang, baru-baru ini.
Ariffin (kanan) menunjukkan antara barang elektrik yang dirampas susulan tumpasnya sindiket gores dan menang, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tawar diskaun sebelum menjerat golongan warga emas dengan membuat perjanjian pembelian barangan elektrik.

Bagaimanapun, taktik sindiket gores dan menang yang aktif sejak tahun lalu itu akhirnya terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, serbuan pertama kira-kira jam 11.30 pagi, Jumaat lalu di sebuah kaunter jualan di pusat beli-belah di Kuala Lumpur berjaya menahan tiga individu disyaki ejen kegiatan terbabit.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan pada hari yang sama di sebuah kediaman inap desa di Puchong, Selangor yang dijadikan sebagai tempat simpanan barangan elektrik dan dokumen berkaitan.

"Serbuan ini bertindak merampas 115 unit barangan elektrik pelbagai jenama, dokumen invois pembeli, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Nissan Almera," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, susulan itu, bertindak hasil maklumat, pada keesokan harinya, KPDNHEP Kuala Lumpur berjaya menahan 12 lagi individu di sebuah hotel di ibu negara disyaki pekerja dalam kegiatan sindiket terbabit.

Katanya, sebanyak empat buah kenderaan dan pelbagai jenis telefon bimbit telah dirampas.

"Kesemua rampasan dalam tiga serbuan itu bernilai RM807,798 dan ini menjadi rampasan kedua terbesar setakat tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mendedahkan kegiatan itu, Ariffin berkata, sindiket beroperasi dengan membuka kaunter jualan dan akan mensasarkan mangsa dalam kalangan warga emas serta pesara.

"Sindiket akan menarik mangsa sebelum mendapatkan tanda tangan mereka pada dokumen berkaitan sebelum menyerahkan kad kredit kononnya bagi melayakkan untuk menyertai peraduan gores dan menang.

"Selepas menerima baucer peraduan, suspek akan mengugut mangsa untuk membuat pembelian barangan seperti yang ditawarkan dengan harga yang tinggi," katanya.

Tambahnya, pihaknya percaya sindiket turut aktif di beberapa negeri lain seperti Pahang, Perak dan Kedah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993," katanya.