Bomba dedah terima amaran

Mohd Hazim antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
Mohd Hazim antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi keenam mendedahkan pasukan bomba dan penyelamat Subang Jaya menerima amaran daripada perusuh agar tidak memadam 18 kenderaan yang terbakar berdekatan dengan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, sehari sebelum insiden Muhammad Adib Mohd Kassim parah dalam kejadian rusuhan tersebut.

Mohd Hazim Mohd Rahimi perkata, dia mengetahui perkara itu ketika post morterm selepas kejadian menimpa Muhammad Adib .

"Dalam post morterm itu, pemandu Fire Rescue Tender (FRT) Pasukan A memberitahu ada orang awam datang beri amaran jangan padam kebakaran.

"Dia (pemandu FRT Pasukan A) beritahu keadaan ketika itu ramai orang bersorak dan ada juga yang datang rem motor kepada mereka," katanya menjawab soal balas peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Syazlin Mansor.

Terdahulu, dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib berkata, dia lari menyelamatkan diri ke arah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas melihat sekumpulan perusuh menyerbu ke FRT dan dirinya.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya nampak ada antara mereka membawa besi putih seperti tiang net takraw, objek lurus seakan pedang samurai, batu dan kayu," katanya.

Justeru katanya, dia memikirkan keselamatan dirinya dan van EMRS adalah pilihan terbaik untuk menyelamatkan diri.

"Sekiranya kembali ke tempat duduk sebelah kanan FRT, saya mungkin tidak selamat kerana perusuh mula menyerang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika berlari ke pintu tepi sisi (slide door) EMRS, pintu Muhammad Adib dalam keadaan tertutup.

"Saya pun tidak nampak dia di kawasan luar van, kalau tidak sudah tentu saya cam kerana kami memakai uniform bomba," katanya.

Sebaik berjaya masuk ke dalam EMRS, dia kemudiannya berbaring di bawah katil pengusung.

"Tidak lama kemudian, dua biji topi keledar menembusi cermin sisi belakang dan cermin belakang EMRS.

"Saya masih dalam keadaan terbaring sehingga tiba di balai polis," katanya yang juga tidak menyedari kehilangan Muhammad Adib.

Prosiding hari keempat Inkuiri berkenaan berlangsung di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad