RM103 juta dadah dirampas sepanjang PKP, PKPB

15,127 ditahan siasat kes penagihan, pemilikan dan pengedaran dadah

Dadah sintetik jenis pil kuda turut dirampas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Mac tahun lalu hingga Februari tahun ini di Kelantan. (Gambar kecil: Sheik Azhar Sheik Omar)
Dadah sintetik jenis pil kuda turut dirampas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Mac tahun lalu hingga Februari tahun ini di Kelantan. (Gambar kecil: Sheik Azhar Sheik Omar)
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan merekodkan jumlah rampasan dadah bernilai RM103 juta di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Mac tahun lalu hingga Februari tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dadah yang dirampas merangkumi jenis sintetik syabu, pil kuda, heroin, ekstasi, eremin 5 dan kodien manakala turut dirampas daun ketum serta cecair ketum.

Menurutnya, bekalan jenis dadah sintetik tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran melalui pelbagai jalan penyeludupan haram di air dan darat.

“Dadah jenis ketum pula dipercayai dari utara tanah air yang memasuki negeri ini kerana ada permintaan daripada penagih.

“Bagi rekod tangkapan penagih, seramai 6,064 yang ditangkap dan didapati ujian urin positif pelbagai jenis dadah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sheik Azhar berkata, jumlah itu termasuk keseluruhan 15,127 individu yang ditahan sepanjang tempoh sama membabitkan 11,807 kes termasuk penagihan, pemilikan dan pengedaran dadah.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh berkenaan sebanyak 4,549 kes pemilikan manakala 1,092 kes bekalan atau pengedaran dadah.

“Hasil penelitian juga menunjukkan penglibatan gender lelaki setinggi 90 peratus berbanding selebihnya 10 peratus adalah wanita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suspek yang ditahan berusia seawal 18 tahun sehingga usia 50 tahun dan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan atau buruh.

“Sejumlah 370 penagih berulang pula ditahan dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman penjara lima tahun serta satu sebatan.

“Selebihnya melibatkan Seksyen 39B, 39A2, 39A1, 12(2) kerana memiliki dan 15(1) kerana menagih dadah serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah- Langkah Pencegahan Khas) 1985.” katanya.