Lembu sado sumber kekayaan baharu

Dr Azman (kanan) melihat lembu sado yang diternak di negeri ini.
Dr Azman (kanan) melihat lembu sado yang diternak di negeri ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat menjadikan penternakan lembu sado sebagai sumber kekayaan baharu berikutan potensi baik yang ada pada haiwan baka import itu berbanding lembu biasa.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, atas dasar itu kerajaan melaksanakan Projek Pembangunan Hub Lembu Sado Berkelompok.

Katanya, projek berkenaan dijangka mampu memberi pulangan lumayan kepada penternak.

“Selain dagingnya yang lebih berkualiti, lembu sado juga bernilai tinggi yang mana harga anak berusia 12 bulan boleh mencecah sehingga RM8,000 seekor manakala lembu dewasa mencapai RM25,000 seekor,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri telah melaksanakan perintis Pembangunan Hub Lembu Sado Berkelompok dengan membangunkan dua kandang lembu sado di padang ragut di Jabi, Besut dan Kerteh, Kemaman melibatkan peruntukan RM92,000 pada tahun lepas.

Beliau berkata, projek melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu itu turut memberi bantuan seekor induk kacukan sado kepada setiap 10 peserta di dua kawasan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Projek ini akan diteruskan pada tahun ini dengan beberapa penambahbaikan dan sebanyak RM700,000 telah diperuntukkan bagi menjayakannya iaitu RM250,000 bagi pembinaan kandang manakala RM450,000 untuk perolehan induk pengganda.

“Ia akan dilaksanakan di empat kawasan iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus serta akan disertai oleh 20 peserta dengan setiap kawasan itu diwakili oleh lima peserta,” katanya.

Dr Azman berkata, sehingga kini terdapat 2,436 penternak lembu sado di Terengganu dan daripada jumlah itu seramai 810 penternak merupakan golongan belia berusia kurang dari 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Besut merekodkan penternak lembu sado paling ramai iaitu 839 orang diikuti Kuala Terengganu (588), Marang (431) dan Kuala Nerus (308).

“Melalui projek Pembangunan Hub Lembu Sado Berkelompok, kita mahu menghasilkan daging lembu yang berkualiti tinggi setaraf dengan piawaian hotel terkemuka agar dapat memberi pulangan lumayan.

“Untuk mencapai piawaian itu, penternak perlu lebih agresif dan mahir dengan kaedah pemotongan daging selain perlu menerapkan amalan pengurusan penjagaan ternakan secara sistematik,” katanya.