X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 180 orang terkorban sejak rampasan kuasa Myanmar

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas para penunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera di Mandalay. - Foto AFP
A
A

YANGON - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh pada Isnin lalu dalam tunjuk perasaan menentang junta tentera melakukan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, lapor Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).

"Bilangan kecelakaan (akibat protes tunjuk perasaan semakin meningkat)," kata persatuan tersebut dengan menambah lebih 180 orang terkorban sejak rampasan kuasa tersebut berlaku.

Junta tentera menggulingkan kerajaan awam dan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Suu Kyi dan beberapa pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) termasuk Presiden Myanmar, Win Myint ditahan selepas junta tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara itu pada November tahun lalu.

Pemimpin demokrasi itu turut berdepan dengan empat tuduhan iaitu memiliki walkie-talkie tidak berlesen, tidak mematuhi peraturan Covid-19, melanggar undang-undang telekomunikasi dan berniat mencetuskan rusuhan kaum.

Pihak junta tentera turut mendakwa Suu Kyi menerima wang haram sebanyak AS$600,000 (RM2.46 juta) dan 11 kilogram emas tetapi seorang peguam belanya menganggap ia sebagai tuduhan tidak berasas.

Menurut AFP, kebanyakan yang terbunuh ialah di tengah Myanmar manakala tiga lagi maut di bandar komersial, Yangon.

Kematian di Yangon turut melibatkan dua wanita di dalam rumah mereka selepas terkena tembakan ketika pasukan keselamatan melakukan tembakan di jalanan, menurut AAPP.

Undang-undang tentera dilaksanakan di enam buah kawasan perbandaran di Yangon selepas tunjuk perasaan yang membawa maut berlaku pada Ahad lepas.

Sesiapa yang ditangkap akan dibicarakan di tribunal tentera berbanding mahkamah awam dengan hukuman menjadi buruk paksa sehingga tiga tahun dan atau dikenakan pendakwaan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengutuk keganasan yang dilakukan terhadap para penunjuk perasaan aman termasuk ke atas kanak-kanak dan wanita di negara tersebut.

"Ia termasuk 38 orang yang terbunuh semalam (Ahad), majoritinya di kawasan Hlaing Thayer di Yangon manakala 18 orang lagi terkorban pada Sabtu lalu," kata Stephane Dujarric iaitu jurucakap untuk Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres seperti dilaporkan oleh AFP.

Dujarric berkata, Guterres mengutuk keganasan itu kerana melanggar hak asasi manusia ke atas penduduk Myanmar dan ke atas mereka yang menyertai tunjuk perasaan secara aman tersebut.

Pembunuhan itu tidak menghalang para penunjuk perasaan menghentikan tunjuk perasaan antirampasan kuasa yang meneruskan tunjuk perasaan pada Isnin lalu dan berhadapan dengan anggota-anggota pasukan keselamatan.

Mereka yang terbunuh itu dilaporkan ditembak di beberapa lokasi di negara tersebut.

Setakat ini, lebih 2,000 orang telah ditahan secara sewenang-wenangnya sejak junta tentera melakukan rampasan kuasa. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!