Isu kalimah ALLAH: MN Selangor sambut baik langkah kerajaan

MN Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan yang memfailkan permohonan rayuan membabitkan isu penggunaan kalimah ALLAH di kalangan masyarakat bukan Islam.
MN Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan yang memfailkan permohonan rayuan membabitkan isu penggunaan kalimah ALLAH di kalangan masyarakat bukan Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) Selangor mengalu-alukan tindakan pantas kerajaan yang mengemukakan rayuan membabitkan isu penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Pengerusi Bersama MN Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Tan Sri Noh Omar dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, permohonan rayuan itu adalah selaras dengan kehendak majoriti masyarakat Islam di negara ini yang resah dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, keputusan berkenaan dilihat dapat menggugat sensitiviti umat Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"Semoga rayuan ini berjaya dipertimbangkan dan mendapat kelulusan paling saksama agar rakyat Malaysia dapat kekal hidup aman damai tanpa mencabar sebarang status quo dan amalan yang ada," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat oleh penganut Kristian seluruh negara dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Bagaimanapun, ia perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia turut bertindak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan bersama berkata, MN Selangor berpendirian bahawa keharmonian antara kaum dan agama di negara ini perlu dipelihara dengan sebaiknya tanpa memberi ruang kepada perkara yang dapat memporak-perandakan kestabilan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Islam sebagai agama rasmi Persekutuan perlulah sentiasa dihormati oleh semua pihak dan segala amalan agama suci ini tidak seharusnya digugat termasuk melibatkan isu hak penggunaan kalimah ALLAH ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/128583/BERITA/Nasional/Kerajaan-fail-rayuan-keputusan-kes-kalimah-ALLAH

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/127767/BERITA/Semasa/Mahkamah-Tinggi-benarkan-penganut-Kristian-guna-kalimah-ALLAH