X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi ekzos bising bikin penunggang ‘panas’

A
A

DI KALA politik sedang sibuk ‘berperang’ untuk mencari kuasa dan darjat, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang ‘berperang’ mencari solusi menyelesaikan masalah ekzos bising.

Ya! Sudah tentu isu ekzos bising ini kerap dimainkan masyarakat terutama di media sosial.

Ada yang setuju dan ada yang tidak.

Mungkin mereka yang tidak bersetuju atas tindakan polis menyita dan menyaman pemilik motosikal disebabkan mereka kebal telinga.

Tapi harus diingat, tindakan sekatan jalan raya menerusi Operasi Khas Ubahsuai Ekzos (bising) yang dilakukan bermula 1 Mac lalu bagi mencari pesalah itu bukan dilakukan pihak berkuasa secara suka-suka atau sengaja hendak menyusahkan penunggang motosikal, namun ia hasil aduan masyarakat kerana bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sebelum ini memaklumkan, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubahsuai Ekzos itu di seluruh negara dalam tempoh seminggu iaitu bermula 1 Mac hingga 6 Mac lalu.

Operasi itu bertujuan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pengguna kenderaan terutama pemilik dan penunggang motosikal yang melakukan ubah suai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising yang turut digelar ‘ekzos perang’.

Sepanjang tempoh seminggu itu, sebanyak 26,239 kenderaan membabitkan 12,709 motosikal, 8,678 kereta dan 4,852 lain-lain kenderaan diperiksa dalam operasi itu sepanjang tempoh berkenaan di seluruh negara.

Daripada 10,166 saman yang dikeluarkan, 1,423 saman adalah bagi kesalahan ubah suai ekzos membabitkan 1,060 motosikal.

Jumlah itu mungkin meningkat dalam tempoh dua minggu kerana hampir setiap hari operasi ini dijalankan.

Tindakan

Sepanjang tempoh dua minggu ini, pemilik-pemilik kenderaan ekzos perang memang tidak senang duduk dibuatnya.

Bukan saja saman, malah motosikal yang tidak menepati undang-undang jalan raya turut disita. Malah, ekzos perang tersebut turut dirampas pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

Memang sayang kerana pemilik sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit semata-mata untuk ubah suai ekzos.

Namun salah tetap salah, tindakan terpaksa diambil bagi mengelakkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Operasi yang dijalankan pihak berkuasa itu sudah tentu menerima respon positif daripada banyak pihak.

Ada yang kata “terima kasih PDRM”, “syabas pihak berkuasa kerana ambil tindakan ini”.

Namun ada juga yang mempertikaikan operasi itu malah turut mempersoalkan mengapa anggota polis tidak bertindak ke atas pelbagai isu yang lebih penting berbanding ekzos motor bising.

Bayangkan, jika polis atau pihak berkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak ambil berat aduan ini? Apa kata netizen?

Mesti ada mulut busuk yang kata: “Eh! polis tak ambil tindakan ke?

Ini antara ‘sakit’ orang kita. Bila ambil tindakan, kita sibuk bising, bila tak ambil tindakan pun kita bising. Apa sebenarnya yang kita mahu?

Dengan lambakan tugas termasuklah penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain komitmen keluarga, polis masih tetap mengambil berat masalah ekzos bising ini walaupun ia mungkin tidaklah seberat kes-kes jenayah lain.

Usahlah kita mempertikai tugasan yang dijalankan pihak berkuasa ini. Kita harus bersyukur kerana kita memiliki penguatkuasa yang sentiasa komited dan bersemangat untuk bertugas.

* Muhammad Afham Ramli ialah wartawan Meja Jenayah Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!