Hentikan pencemaran sungai

No Image Caption
A
A
A

TERKINI negara digemparkan dengan pencemaran semula Sungai Kim Kim di Johor akibat perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.

Komponen sungai sering dicemari secara berterusan hasil daripada aktiviti manusia yang melampaui batas kelestarian, antaranya akibat pelepasan sisa industri secara tidak terawat. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 80 peratus air kumbahan yang disebabkan oleh aktiviti manusia dilepaskan ke dalam sungai atau laut tanpa sebarang penyingkiran pencemaran.

Dalam buku Death of the Sweet Waters, Donald E Carr menjelaskan air yang dicemari oleh kumbahan ini merupakan punca kepada tersebarnya demam kepialu dan taun yang mewakili 20 peratus dalam kes-kes yang dilaporkan di hospital di India dan China.

Umumnya, pencemaran sungai bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah sumber makanan dan aktiviti ekonomi, peningkatan kos ke loji rawatan air, peningkatan kos untuk memulihkan sungai, kepupusan hidupan akuatik, kemusnahan tempat rekreasi semula jadi, banjir kilat serta terjejasnya aktiviti pelancongan.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mencemarkan sungai.

Antaranya pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang; pencemaran Sungai Kereh di Tasek Gelugor, Pulau Pinang akibat pelepasan najis khinzir serta pencemaran Sungai Kuang di Chemor, Perak yang dilaporkan tercemar dengan najis lembu.

Pada tahun 2019, di Selangor sahaja, sebanyak 15,361 kilang dan industri berlesen direkodkan pihak berkuasa tempatan beroperasi di dua lembangan sungai utama yang membekalkan air mentah iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat. Jumlah kilang ini tidak termasuk premis dan industri yang beroperasi secara haram dengan kedua-dua kategori itu berpotensi untuk menjadi sumber pencemaran di lembangan sungai tersebut.Buangan

Menurut Jabatan Alam Sekitar Selangor, daripada 2,000 premis industri yang berada di lembangan Sungai Buloh, kira-kira 20 peratus didapati mengeluarkan atau melepaskan sisa perindustrian ke dalam sungai tersebut. Ada antaranya tidak mempunyai loji pengolahan untuk merawat sisa, sekali gus tidak patuh kepada Piawai B Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Artikel Berkaitan:

Laporan Bernama pada Disember 2020 mendapati, Sungai Langat sepanjang 149.3 kilometer yang muaranya terletak di Kuala Langat dijadikan tempat untuk mengalir dan membuang sisa industri selain digunakan untuk menjana tenaga bagi pengoperasian kilang.Dilaporkan terdapat 8,676 kilang dan industri berada di lembangan Sungai Langat, yang mana 27 buah kilang tanpa kebenaran beroperasi di sekitar sungai di kawasan Kuala Langat.

Walaupun sudah banyak kes kilang sama ada secara haram atau berlesen melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibongkar dan diambil tindakan, namun ia langsung tidak meninggalkan kudis, malah lokasi strategik di Kuala Langat tetap jadi tumpuan.

Penglibatan aktif masyarakat sangat dituntut dalam melestarikan sungai. Walaupun program kesedaran mencintai sungai sudah lama dilaksanakan, namun dikesali kerana pencemaran sungai masih lagi berlaku.

Sungai adalah nadi kehidupan dan milik kita bersama. Justeru, masyarakat merupakan ejen utama yang dapat membantu kerajaan mengurangkan masalah pencemaran sungai. Usaha menjaga dan memelihara sungai supaya sentiasa lestari adalah berkait dengan soal kesedaran dan sikap komuniti. Jika semua ahli masyarakat bersama menjaga sungai, kita akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sihat.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia