Kuasa maritim terkuat dunia

A
A
A

TAHUN ini Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bakal mentauliahkan tujuh buah kapal perang meliputi sebuah kapal pembinasa, kapal tempur pesisir (tiga), kapal selam (dua) dan sebuah kapal logistik.

Pada masa sama, sebanyak lapan buah kapal perang lain pula akan dilancarkan iaitu tiga buah kapal pembinasa, kapal logistik (dua), kapal pembekal minyak (dua) dan sebuah kapal selam.

Walaupun di atas kertas, AS berada di belakang China sebagai angkatan laut terbesar di dunia dengan kelebihan mengoperasikan banyak kapal perang tetapi kekuatan sebenar kuasa maritim masih didominasi negara Uncle Sam itu.

Sebagai perbandingan, Tentera Laut AS memiliki kira-kira 297 buah kapal perang pelbagai jenis manakala aset-aset Tentera Laut China (PLAN) pula berjumlah 360 buah. Selain giat menambah bilangan aset tentera laut, China turut memodenkan kapal perang miliknya.

Misalnya, republik itu sedang membangunkan kapal tempur moden, kapal selam, kapal pembawa pesawat, kapal perang amfibia, kapal selam peluru berpandu balistik dan kapal pengawal pantai.Kekuatan tentera laut China ini sering digambarkan sesetengah pihak termasuk media antarabangsa sebagai berupaya untuk melancarkan provokasi yang lebih serius dalam isu pencerobohan di Laut China Selatan.

Ini kerana strategi perang China jelas dilihat pada kapal-kapal perangnya yang lebih kecil tetapi dilengkapi sistem persenjataan moden dan sesuai untuk pertahanan kawasan pesisir.

Dengan kelebihan ini, ia bermakna kapal-kapal perang China tidak akan beroperasi terlalu jauh dari pangkalan. Kekuatan maritim negara Tembok Besar ini juga jauh mengalahkan negara-negara Asia Tenggara yang kelihatan kerdil.

Namun, realitinya keupayaan maritim negara kuasa Asia Timur ini sangatlah tidak seimbang kerana AS mengoperasikan 11 buah kapal pembawa pesawat berkuasa nuklear manakala China memiliki hanya dua buah jenis konvensional.

Artikel Berkaitan:

Kapal pembawa pesawat pertama China, Liaoning ditauliahkan pada tahun 2012 yang dibangunkan daripada bekas kapal milik Soviet disusuli kapal kedua, Shandong dua tahun lalu. Cita-cita China ialah hendak memiliki empat buat kapal pembawa pesawat.

Pengoperasian kapal-kapal ini juga mirip sepertimana yang dikendalikan oleh Tentera Laut AS, misalnya menerusi pemakaian warna yang berbeza pada kru dek penerbangan.

Setiap kapal ini boleh membawa sehingga 40 pesawat tempur termasuk Shenyang J-15 yang dibina berasaskan pesawat Sukhoi Su-33 Rusia.

Bagaimanapun jika kekuatan udara tentera laut dijadikan kayu pengukur, maka China masih jauh daripada mampu untuk menandingi Tentera Laut AS yang memiliki kira-kira 3,700 buah pesawat pelbagai jenis.

Tunjang utamanya ialah 675 pesawat F/A-18 E/F dan 47 buah pesawat halimunan F-35 Lightning II. Kekuatan cabang udara tentera laut ini termasuk kira-kira 1,300 buah pesawat pelbagai jenis yang dioperasikan oleh Kor Marin AS.Sebagai perbandingan, Tentera Udara China memiliki kira-kira 3,200 buah pesawat termasuk 1,500 pesawat tempur yang meletakkan kedudukan sebagai kuasa udara ketiga terbesar di dunia di belakang Rusia.

Sebelum China, perebutan status sebagai negara kuasa maritim adalah antara AS dan Kesatuan Soviet sema Perang Dingin manakala pada era sebelumnya pula melibatkan Tentera Laut Diraja Britain (RN).

RN merupakan kuasa maritim dunia sejak abad ke-18, sangat digeruni serta tidak tercabar dengan memikul tanggungjawab sebagai pelindung Empayar British pada masa itu.

Status sebagai kuasa laut ini hanya berjaya dipintas oleh AS semasa Perang Dunia Kedua. Ketika ini Britain memiliki angkatan laut kelima terbesar di dunia di belakang Jepun tetapi masih merupakan kuasa maritim paling utama di Eropah. Ia mempunyai 77 buah kapal perang termasuk dua kapal pembawa pesawat dan 11 kapal selam berkuasa nuklear.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu