X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysian Tigers layan kunjungan Great Britain, Jepun

Subahan Kamal
A
A

MALAYSIAN Tigers berpeluang mengekalkan momentum selepas Liga Hoki Malaysia (LHM) yang berakhir awal April ini apabila mereka dijangka bermain dalam perlawanan ujian menentang Great Britain dan Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kedua-dua skuad lelaki dan wanita Great Britain dan Jepun akan mengadakan persiapan pra-Olimpik di Malaysia pada bulan Ramadan yang bermula 13 April.

Katanya, ‘kejohanan mini’ akan dianjurkan menggunakan konsep gelembung sukan sama ada di di ibu negara atau Kuantan memandangkan perbincangan masih diadakan dengan Persatuan Hoki Pahang.

“Kami merancang mengadakan empat perlawanan dengan setiap pasukan, selain turut meminta pasukan lelaki Great Britain beraksi bersama skuad junior kami bagi membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia (Piala Remaja Asia pada Julai),” katanya kepada pemberita di sini.

Subahan berkata, KHM juga meminta kerajaan untuk memberi vaksin kepada pemain pasukan kebangsaan kerana mereka merancang meneruskan persiapan di luar negara selepas sambutan Aidilfitri pada Mei bagi memastikan pasukan dalam prestasi baik untuk menghadapi kejohanan akan datang.

“Pasukan lelaki memilih ke Afrika Selatan dan India manakala pasukan wanita merancang ke India.

"Bagi skuad remaja lelaki, belum ada petunjuk lagi daripada (ketua jurulatih) Wallace Tan, saya fikir beliau cukup yakin dengan pemain dan yakin mereka akan beraksi dengan baik pada kelayakan itu,” kata Subahan.

Malaysian Tigers menghuni ranking ke-11 dunia, akan memulakan aksi kompetitif iaitu Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Jun diikuti Trofi Juara-juara Asia (ACT) di Bangladesh (Oktober), Kejohanan Hoki Piala Dalam Dewan Asia di Thailand (7-14 November) dan Piala Asia sepanjang November 2021 hingga Januari 2022.

Sementara itu, Malaysian Tigress yang merupakan skuad projek Sukan Asia 2026 di bawah kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bakal beraksi dalam Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita di Jepun (Ogos), ACT (September hingga Oktober), Kejohanan Hoki Piala Dalam Dewan Asia di Thailand (7 hingga 14 November) dan Piala Asia (November hingga Januari 2022).

Bagi skuad remaja lelaki, mereka dijangka beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor pada September selepas Piala Remaja Asia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!