'Spurs beraksi buruk'

Reaksi Mourinho ketika Tottenham berkunjung menentang Arsenal di Emirates.
Reaksi Mourinho ketika Tottenham berkunjung menentang Arsenal di Emirates.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengakui pasukannya bermain dengan sangat buruk yang menyumbang kekalahan 1-2 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates awal pagi Isnin.

Menurutnya, para pemain Spurs gagal untuk beraksi baik sejak wisel permulaan ditiup walaupun berjaya mendapatkan gol awal menerusi Eric Lamela pada minit ke-33.

"Kami bermain dengan sangat buruk di babak pertama. Pertahanan kami buruk, kami buruk dalam setiap aspek. Saya tidak tahu apa yang boleh diperkatakan lagi.

"Mereka (Arsenal) lebih agresif, bermotivasi dan menggerakkan bola lebih baik daripada kami di setiap segenap padang," katanya.

Dalam perlawanan itu, pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard memadamkan kelebihan jaringan yang dilakukan Lamela menerusi gol penyamaan pada minit ke-55 sebelum Alexandre Lacazette yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64 memastikan tiga mata buat The Gunners.

Malah, Spurs turut terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Lamela dibuang padang kerana mengasari Kieran Tierney pada minit ke-76.

Dalam pada itu, Mourinho turut mengkritik Gareth Bale dan Tanguy Ndombele yang disifatkannya gagal memberikan impak kepada pasukan sehingga menyumbang kekalahan tersebut.

"Kami perlukan lebih banyak intensiti dalam perlawanan itu tetapi Bale dan Ndombele gagal memberikannya. Saya terpaksa mengeluarkan kedua-dua mereka dan memasukkan pemain lain yang mampu memberikan sumbang yang lebih bagus.

Artikel Berkaitan:

"Kami perlukan apa yang dipamerkan Sissoko di bahagian tengah namun Ndombele gagal melakukannya.

"Kami berjaya menguasai semula perlawanan pada separuh masa kedua, namun keputusan pengadil memberikan penalti kepada Arsenal adalah tindakan yang tidak wajar," katanya.