Empat direman bantu siasatan kes tetak warga emas

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Empat lelaki direman enam hari bermula Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes mencederakan seorang lelaki warga emas dengan parang dalam kejadian di Kok Lanas, di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, keempat-empat suspek berusia 24 sehingga 26 tahun itu ditahan di sekitar Kok Lanas dan Kota Bharu pada Ahad malam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam kejadian pada 21 Februari lalu, mangsa berusia 61 tahun hampir putus tangan kiri dipercayai dilibas dengan parang oleh empat lelaki termasuk anak saudaranya sendiri dalam kejadian di Kampung Membatu, Kok Lanas di sini akibat salah faham mengenai duit.

Mangsa yang berusia 61 tahun didakwa diserang pada jam 10.30 malam selepas anak saudaranya itu berang setelah mengetahui mangsa meminta duit daripada datuknya.

“Suspek bersama tiga yang lain kemudian pergi ke arah mangsa lalu melibas parang dan mengenai pergelangan tangan kiri mangsa hingga hampir putus.

“Duit yang mangsa minta itu pula dikatakan duitnya sendiri dan disimpan oleh datuk suspek," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke wad selama 18 hari sehingga 11 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa menjalani pembedahan menyambung semula tangannya dan tampil membuat laporan selepas keluar dari hospital.