Vaksin AstraZeneca-Oxford tidak tingkatkan risiko pembekuan darah

Pihak berkuasa di Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda telah menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca-Oxford kerana isu pembekuan darah. - Foto Agensi
Pihak berkuasa di Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda telah menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca-Oxford kerana isu pembekuan darah. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - AstraZeneca pada Ahad menegaskan semakan ke atas data keselamatan vaksin Covid-19 dihasilkan mereka bersama Oxford University tidak menunjukkan sebarang bukti ia meningkatkan risiko pembekuan darah.

“Kajian teliti itu dilakukan terhadap data lebih 17 juta individu berdasarkan kumpulan umur dan jantina yang terlibat program vaksinasi di United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU),” ujar jurucakapnya selepas beberapa negara menggantung penggunaan vaksin mereka.

Jelasnya, kira-kira 15 insiden trombosis urat dan 22 salur darah paru-paru tersumbat telah dilaporkan setakat ini.

“Ujian lanjut sedang dijalankan dan ia tidak menunjukkan tahap kebimbangan yang tinggi. Laporan keselamatan bulanan akan disiarkan di laman EMA pada minggu berikutnya,” jelas firma farmaseutikal yang berpusat di England itu.

Sementara itu, bekas perunding kawalan penyakit berjangkit di UK turut menyuarakan rasa kesal atas tindakan terburu-buru sebahagian negara yang mengambil keputusan sedemikian atas alasan sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.

“Tindakan mereka menjejaskan usaha memberikan suntikan imunisasi yang bertujuan memperlahankan penyebaran wabak tersebut bagi menjayakan usaha menamatkan pandemik itu,” tegas Peter English.

Pada Jumaat lalu, Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) mengesahkan tiada bukti menunjukkan beberapa kes pesakit mengalami masalah berkaitan darah berpunca daripada vaksin AstraZeneca-Oxford.

Pengesahan itu bagaimanapun gagal meyakinkan pihak berkuasa di beberapa negara di blok Eropah yang bertindak menggantung penggunaan vaksin itu sementara melancarkan siasatan ke atas beberapa insiden termasuk kematian individu selepas mendapat suntikan vaksin tersebut.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, vaksin AstraZeneca-Oxford telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Kesatuan Eropah (EU) dan kebanyakan negara, namun ia belum mendapat kelulusan daripada pengawal selia di Amerika Syarikat (AS).

Ia sedang bersiap-sedia untuk memfailkan permohonan untuk kegunaan kecemasan di Washington dan data ujian klinikal fasa ketiga dijangka dikeluarkan tidak lama lagi. - Agensi